Pukul 4 petang bukan waktu sesuai tapi peraturan tetap peraturan – Tomislav Steinbruckner

210

Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berharap pemain-pemainnya akan tetap bertenaga sepanjang tempoh 90 minit perlawanan menentang Stallion Laguna FC di Piala AFC 2023 esok.

Ini kerana perlawanan tersebut akan berlangsung pada pukul 4.00pm yang mana ketika itu cuaca panas namun Steinbruckner terpaksa akur dek peraturan yang telah ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).


“Esok saya harapkan permainan berkualiti dari pasukan saya dan harap kita akan kekal bertenaga sepanjang tempoh perlawanan kerana kita bermain di waktu awal petang.

Bagi saya pukul 4.00pm bukan sesuai untuk bermain bola sepak tapi peraturan tetap peraturan. Apa-apa pun saya berharap agar pemain dapat pamer aksi cemerlang untuk pastikan tiga mata menjadi milik kita,”

katanya.

Terengganu yang berada dalam Kumpulan G kini menghuni tangga kedua kumpulan selepas dua perlawanan menerusi satu kemenangan dan satu seri.

Skuad Sang Penyu menjadi pasukan pilihan untuk menang pada perlawanan esok berikutan pasukan lawan Stallion Laguna dibelasah 9-1 oleh Central Coast Mariners.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapan pasukan menjelang perlawanan esok pengendali dari Croatia itu berkata persiapan seperti biasa tetapi beliau belum dapat membuat keputusan mengenai pemain yang akan diturunkan kerana perlu membuat penilaian terhadap tahap kecergasan setiap pemain terlebih dahulu.

“Saya akan membuat penilaian beberapa pemain terlebih dahulu untuk melihat tahap kecergasan mereka terlebih dahulu.

Tapi apa yang pasti saya akan turunkan barisan pemain terbaik untuk perlawanan esok.”

Sementara itu, kapten pasukan Habib Haroon pula enggan memikirkan mengenai pasukan lawan sebaliknya mahu fokus pada pasukan sendiri kerana penting untuk mereka mempamerkan aksi cemerlang di tempat sendiri.

“Kami tidak peduli dengan pasukan lawan, siapa mereka atau prestasi semasa mereka sebaliknya kami fokus pada pasukan sendiri. Kita bermain di tempat sendiri jadi saya rasa semua teruja untuk menanti perlawanan esok.”