Banyak peluang terhidang tapi pemain tiada kualiti untuk menyempurnakannya – Tomislav Steinbruckner

83

Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner nyata tidak berpuas hati dengan pemainnya selepas mereka hampir dimalukan pasukan Stallion Laguna FC sebelum berjaya membawa pulang satu mata selepas terikat 2-2 dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan Piala AFC 2023.

Menurut Steinbruckner, pasukannya mencipta cukup banyak peluang tetapi ketumpuan di bahagian serang menyebabkan mereka gagal menyempurnakan peluang yang ada.


“Jika melihat dari sudut pandang pasukan saya, kita mempunyai banyak peluang untuk menang tapi pemain tiada kualiti untuk menyempurnakan peluang tersebut.

Kita sepatutnya bermain dengan lebih baik lagi terutamanya apabila melakukan transisi. Apa-apa pun tiada apa yang boleh dikatakan kerana kami bermain dengan teruk hari ini,”

katanya.

Steinbruckner juga berkata pada perlawanan yang berlangsung petang tadi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) tiada seorang pun pemainnya yang boleh diberikan gelaran ‘Man Of The Match’.

Beliau bagaimanapun lega apabila skuad Sang Penyu dapat bawa pulang satu mata di tempat sendiri dan minta pemain untuk lupakan apa yang berlaku untuk beri fokus pada perlawanan akan datang pula.

“Kita tidak main seperti level yang kita mahukan. Kita main terlalu perlahan dan banyak buat kesilapan teknikal dari segi hantaran dan juga buat keputusan.”

Dalam pada itu, keputusan seri tersebut telah menyebabkan kedudukan mereka turun ke tangga kedua selepas Central Coast Mariners (CCM) berjaya kutip tiga mata penuh pada perlawanan menentang Bali United.

“Dengan CCM menang, mereka kini mendahului kumpulan dengan enam mata dan kami lima mata, tapi kami berjuang habis-habisan sehingga tamat saingan peringkat kumpulan nanti.”

Sementara itu, beliau turut mendedahkan perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC pada Ahad ini akan menyaksikan beliau menurunkan barisan pemain simpanan.