Sony Norde akui pandang rendah pada pasukan lawan makan diri sendiri

179

Pemain sensasi Terengganu FC, Sony Norde nyata kecewa dengan keputusan perlawanan menentang Stallion Laguna FC apabila mereka sekadar seri 2-2 pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan Piala AFC 2023 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) petang tadi.

Menurut Sony, antara faktor mereka gagal mengutip tiga mata penuh di tempat sendiri adalah kerana memandang rendah pada pasukan lawan sehingga ia memakan diri mereka sendiri.


“Saya sangat kecewa pada petang ini kerana kami jangka untuk dapat tiga mata hari ini tapi kami ambil mudah dan pandang rendah kepada pasukan lawan.

Kami juga membuat kesilapan dan apabila sudah ketinggalan dua jaringan, sukar untuk kami bangkit untuk cuba mendapatkan kemenangan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau pada masa sama turut mengakui kecewa dengan dirinya sendiri apabila tidak berjaya menyempurnakan banyak peluang yang dimilikinya sepanjang perlawanan, namun berkata inilah bola sepak.

Dalam pada itu, Sony berkata sekiranya mereka berjaya menang pada perlawanan tadi ia akan memudahkan mereka untuk mara ke peringkat seterusnya, namun disebabkan seri mereka kini perlu berjuang habis-habisan bagi baki tiga perlawanan.

“Kalau kami menang tadi ia akan jadi mudah, tapi kini kami perlu berjuang dan berkorban untuk memastikan kami mendapat sekurang-kurangnya enam mata lagi untuk baki tiga perlawanan.”

Beliau pada masa sama harap mereka dapat memperbaiki segala kelemahan mereka secepat mungkin sebelum mengharungi perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 pada 3 November ini.