AFL akan buat perubahan untuk tingkatkan prestij Liga M3, mungkin akan perkenal pemain import

169

Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi memberitahu bahawa pihaknya akan membuat perubahan untuk saingan Liga M3 pada musim hadapan bagi meningkatkan lagi prestij saingan liga itu.

Menurut Yusoff Mahadi, pihaknya tidak mahu Liga M3 menjadi pilihan terakhir pemain yang tidak mendapat tempat dalam pasukan Liga Super, sebaliknya mahu pemain yang bersaing dalam itu bangga.


“Kita sedang melihat bagaimana hendak meningkatkan kualiti liga memandangkan Liga M3 kini adalah tier kedua Liga Malaysia, jadi kita kena fikirkan bagaimana hendak tingkatkan kualiti setiap perlawanan supaya ia akan mendatangkan nilai kepada liga itu sendiri.

Jadi memang kita sentiasa memikirkan nak tambah kualiti ini dari segi pemain ke, oleh itu kita akan berbincang dengan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan pihak penyiar kerana sebelum ini kita cuma siarkan secara dalam talian sahaja.

Sekarang ini kita mahu dapatkan rakan penyiar kerana ini adalah liga kedua. Untuk menarik rakan penyiar kualiti liga perlu baik baru orang mahu tengok. Jadi kita akan buat sedikit perubahan pada musim depan,”

katanya.

Tambahnya lagi, dengan adanya rakan penyiar ia secara tidak langsung akan menarik perhatian penyokong untuk mengikuti perkembangan Liga M3.

Malah, dengan peningkatan kualiti ini juga akan menarik lebih ramai pemain untuk beraksi dalam liga.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa pihak AFL telah pun menyusulkan beberapan cadangan kepada pihak teknikal FAM termasuk memperkenalkan pemain import untuk saingan liga semi-profesional.

“Setakat ini kita sudah bagi beberapa cadangan kepada teknikal FAM tapi belum ada keputusan lagi. Memang kita sebenarnya mahu melatih pasukan-pasukan ini kerana apabila mereka naik ke Liga Super mereka akan guna pemain import.

Jadi bagaimana mereka hendak main jika tidak mempunyai pengalaman dengan pemain import, jadi faktor pemain import ini juga ada dalam perbincangan kita, jadi kita tunggu jawapan daripada pihak teknikal FAM.”