Imigresen FC alu-alukan syarikat korporat untuk taja mereka ke Liga Super

343

Saingan Liga M3 baru sahaja melabuhkan tirainya dengan pasukan Imigresen FC (IFC) telah dinobat sebagai juara Liga M3 untuk musim 2023 dalam aksi yang cukup dramatik.

Kejayaan menjulang kejuaraan itu menyaksikan IFC sah layak untuk beraksi di Liga Super pada musim 2024, namun pihak pengurusan pasukan perlu pastikan mereka mempunyai bajet yang kukuh jika mahu beraksi di liga tertinggi tempatan itu.


Berikutan itu pengurus pasukan IFC iaitu Mohd Iqmal Haqimie Abdullah berkata pihaknya kini sangat mengalu-alukan mana-mana syarikat korporat yang ingin menjadi penaja utama mereka.

“Di pihak IFC kita sangat mengalu-alukan syarikat-syarikat korporat yang berminat untuk menyertai industri bola sepak.

Kita terbuka untuk mencari penaja utama pasukan untuk tahun 2024 samada kita berada di Liga Super atau sebaliknya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sekiranya IFC sah akan beraksi di Liga Super pada musim hadapan, mereka perlukan bajet sekurang-kurangnya RM8 juta ke RM10 juta untuk mengharungi satu musim.

Dalam pada itu, Iqmal Haqimie juga tidak dapat mengulas lanjut mengenai kenyataan ketua jurulatih IFC iaitu Mat Zan Mat Aris yang mengatakan beliau akan meninggalkan pasukan itu sekiranya kelab itu beraksi di Liga Super musim depan.

“Kita masih di peringkat perbincangan, cuma ketika ini pengarah teknikal Datuk Zainal Abidin Hassan sedang mempersiapkan pasukan dan staf kejurulatihan.”

Sementara itu, beliau turut mendedahkan bahawa pihak kelab bersedia untuk melepaskan mana-mana pemain yang mendapat tawaran ke kelab lain.

“Kami bersikap adil dengan beri peluang kepada semua pemain. Jika pemain dapat tawaran lebih baik, kita akan lepaskan dan kita akan berasa bangga dan ia adalah untuk kebaikan pemain itu sendiri.”