Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar akan bertemu kelab penyokong apabila kesihatannya semakin baik

155

Baru-baru ini pemilik saham terbesar kelab Kedah Darul Aman FC (KDA) iaitu Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar telah mengadakan satu sidang media bagi menjelaskan situasi atau kemelut yang sedang berlaku dalam pasukan itu terutamanya isu tunggakan gaji.

Dalam sidang media itu turut menyaksikan beliau tampil memohon maaf kepada keseluruhan skuad atas masalah aliran wang tunai yang dihadapi oleh mereka ketika ini.


Namun sebaik sahaja selesai sidang media, Daud Bakar telah mengadakan pertemuan dengan seorang wakil penyokong yang berpengaruh Hazriq Fahimy Abdullah yang mana kedua-dua mereka meluahkan perasaan termasuk menyusulkan beberapa cadangan dan perkara yang boleh ditambah baik.

Perkara itu dikongsikan oleh Hazriq sendiri di laman sosial Facebook miliknya yang berkata dalam pertemuan yang tidak dirancang itu beliau turut menyuarakan kepentingan untuk pihak pengurusan tertinggi kelab untuk bersemuka dengan wakil kelab penyokong.

Daud Bakar sememangnya ingin bersemuka dengan penyokong Sang Kenari tetapi tidak dapat berbuat demikian ketika ini dek masalah kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Saya tekankan kepentingan untuk bersemuka dengan wakil-wakil kelab penyokong selepas ini untuk kefahaman bersama. Saya dimaklumkan oleh Tan Sri sendiri beliau memang ingin berbuat demikian, namun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan sehingga kini.

Itu juga antara sebab Tan Sri jarang untuk menulis di alam maya. Kita doakan semoga Tan Sri terus sihat sejahtera hendakNya, Amin.”

Hazriq turut menyatakan bahawa Daud Bakar akan mengadakan perjumpaan bersama penyokong selepas masalah kelab selesai.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa pemilik kelab juga komited untuk terus bekerja keras bagi memulihkan semula KDA dan tidak akan lepas tangan begitu sahaja.

Oleh yang demikian, beliau menyeru seluruh penyokong Hijau Kuning untuk berdiri teguh di belakang kelab pada waktu getir seperti ini dan teruskan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi supaya kelab dapat pulih seperti biasa.