Hari-hari terakhir sebagai presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria ingin melihat legasinya diteruskan

84

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dibawah naungan Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri dengan bukti perubahan drastik dari pelbagai aspek.

BAM bukan sahaja melahirkan pemain yang berkaliber tetapi juga mewujudkan ‘independent players’,, lebih ramai atlet badminton negara ternyata menunjukkan reputasi yang cemerlang dan membanggakan saban tahun.


Beliau yang telah menyandang jawatan tersebut sejak 2017 mendambakan kelangsungan legasinya meskipun telah menerima sentuhan presiden baharu.

“Saya yakin dan percaya Tengku Zafrul adalah calon terbaik mengantikan saya sebagai presiden BAM. Saya berharap beliau dapat meneruskan perkara ini,”

katanya.

Tambah Norza, meskipun akan melepaskan jawatan itu tidak lama lagi namun beliau masih kekal sebagai Presiden Majlis Olimpik Negara (OCM) dan semestinya ingin melihat kecemerlangan kontinjen badminton negara di Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan datang.

Tanggungjawabnya masih berterusan demi melihat atlet badminton sebagai lubuk emas buat negara.

“Kita masih lagi ingin melihat pasukan badminton kita memenangi pingat emas pertama buat Malaysia dan juga lebih banyak emas yang disumbangkan dari pasukan badminton kita.”

Beliau yang ditemui di Sports Arena Sentosa Kuala Lumpur siang tadi berkata BAM juga ada menanam niat untuk membawa pulang Piala Thomas kembali ke tanah air.

“Kita perlu sentiasa percaya dengan proses. Ianya sedang dijalankan dan semakin membaik.”

Beliau percaya bahawa lebih ramai pemain badminton yang boleh diketengahkan dan BAM tidak perlu hanya bergantung kepada pemain yang sedia ada.