FAM, sila jawab 12 soalan peminat ini

817

Tanggal 21 Januari 2022 adalah hari yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh peminat bola sepak tanah air kerana Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dikatakan akan jawab segala kontroversi persatuan itu.

Sebelum ini Hamidin Amin telah memberitahu bahawa satu Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025 akan berlangsung, sekaligus akan mengadakan sidang media.


Antara persoalan yang paling ditunggu-tunggu peminat adalah keputusan laporan ‘post-mortem’ kegagalan skuad Harimau Malaya pada saingan Piala AFF 2020 di Singapura baru-baru ini.

Selain laporan keputusan ‘post-mortem’, peminat turut menuntut pelbagai lagi jawapan dan penjelasan berkaitan sukan nombor satu negara ini.

Berdasarkan komen-komen peminat di media sosial, kami di Harimau Malaya telah mengumpul dan menuntut FAM menjawab soalan-soalan daripada peminat bola sepak negara ini.

1. Apa sebenarnya isu yang berlaku di antara Lim Teng Kim dan FAM?

Sumber foto: Football Tribe

Peminat bola sepak sudah mengetahui mengenai ‘perang’ antara bekas ketua jurulatih skuad B-16 negara dan bekas ketua jurulatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim dan FAM ini sudah berlanjutan sejak beberapa tahun lalu.

‘Perang’ antara mereka menjadi semakin panas apabila kegagalan pasukan kebangsaan di saingan Piala AFF 2020 dan Teong Kim membuat satu kenyataan kepada sebuah portal dengan menyatakan ‘Presiden FAM ‘membunuh’ bola sepak Malaysia’. Bagaimanapun portal tersebut bagaimanapun telah memadam artikel itu pada 7 Januari lalu dan membuat permohonan maaf sambil berkata ia adalah salah faham.

Tidak dapat dinafikan Teong Kim seorang jurulatih yang sangat lantang sekiranya sesuatu berlaku dalam dunia bola sepak tempatan. Khidmat Teong Kim telah ditamatkan susulan kegagalan skuad B-16 melepasi peringkat kumpulan Kejohanan B-16 AFC. Tetapi ramai yang mempertikaikan penamatan khidmat Teong Kim ini yang dikatakan dibuat kerana kelantangan jurulatih itu yang sering mengkritik FAM.

Jika ada yang berkata salah Teong Kim, anda patut lihat terlebih dahulu rekod cemerlang jurulatih itu. Beliau sudah melahirkan ramai bintang bola sepak terkenal dunia seperti Thomas Muller, Philipp Lahm, Bastian Schweinsteiger, Toni Kroos dan ramai lagi. Jadi siapa sebenarnya yang salah? FAM atau Teong Kim?

2. Sampai bila FAM nak nafikan wujudnya ‘tangan ghaib’?

Sumber foto: Blogger

Isu yang sehingga kini tiada kesudahannya. Setiap kali ditanya, pasti pihak FAM akan tampil menafikan perkara itu dan menjelaskan bahawa tiada sebarang campur tangan daripada ‘tangan ghaib’ dalam setiap keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan FAM termasuklah masuk campur urusan jurulatih dalam memilih siapa yang akan dipanggil atau siapa yang boleh main.

Walaupun isu ini sangat sensitif, tetapi boleh dikatakan seluruh peminat bola sepak tanah air tahu mengenai ‘tangan ghaib’ ini. Malah mereka yang bukanlah peminat tegar sukan bola sepak juga turut tahu dengan isu ini apabila melihat apa yang terjadi dalam kem kebangsaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah terdapat beberapa sumber yang boleh dipercayai mengakui wujudnya ‘tangan ghaib’ yang menentukan pemain yang dipilih sekaligus menyukarkan tugas jurulatih. Bukan urusan pemilihan pemain sahaja, tetapi boleh dikatakan hampir keseluruhan keputusan yang dibuat pasti ada campur tangan ‘tangan ghaib’.

3. Adakah wujud ‘double standard’ untuk bola sepak wanita?

Sumber foto: FAM

Tidak dapat dinafikan sukan bola sepak wanita tidaklah sepopular seperti bola sepak lelaki. Antara faktor yang membuatkan bola sepak wanita tidak popular kerana kurangnya tumpuan kepada mereka. Tidak keterlaluan jika mengatakan wujudnya ‘double standard’ di antara pasukan bola sepak lelaki dan wanita.

Pihak FAM sememangnya menyediakan bajet untuk pembangunan bola sepak wanita tetapi tidak tahu mana salah atau silapnya sehingga kini bola sepak wanita ini dilihat seolah-olah tidak wujud dan peminat hanya mengetahuinya sekiranya ia dilaporkan di media arus perdana sahaja.

Berapa bajet yang diperuntukkan kepada bola sepak wanita dan apa yang pihak FAM telah rancang dan buat untuk pastikan kualiti bola sepak wanita naik. FAM sepatutnya menjadi ‘ketua’ dalam memajukan sukan bola sepak wanita, tetapi sehingga kini pasukan bola sepak wanita masih berada di takuk lama.

FAM patut berasa malu dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang mengambil inisiatif untuk majukan sukan bola sepak wanita menerusi pengajuran Liga Super Wanita FAS (FASWSL) 2021 yang mana ia memberi peluang kepada pemain wanita di negeri itu untuk beraksi dalam sukan bola sepak.

Jika FAM benar-benar mahu majukan sukan bola sepak wanita tanah air, mereka sepatutnya belajar dari FAS dan sediakan peruntukkan untuk anjurkan Liga Super wanita supaya dapat tingkatkan kualiti pemain bola sepak wanita tempatan sekaligus dapat lahirkan lebih ramai pemain profesional.

4. Kenapa FAM nak tawarkan diri jadi tuan rumah Kelayakan Piala Asia 2023 sedangkan kita belum tentu layak & kenapa perlu kerluarkan bajet yang banyak sedangkan dana tersebut boleh disalurkan kepada persatuan sukan lain.

Sumber foto: FAM

Sebelum ini terdapat laporan yang mengatakan FAM membuat bidaan mahu menjadi tuan rumah bagi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 dan perkara itu mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk pastikan usaha itu dapat direalisasikan.

Tetapi persoalannya kenapa FAM dan KBS sanggup ‘buang’ jutaan ringgit untuk jadi tuan rumah sedangkan Malaysia belum tentu layak. Bukankah lebih bagus dana untuk anjurkan Kelayakan Piala Asia 2023 disalurkan kepada persatuan-persatuan sukan lain yang terjejas teruk sehingga atlet-atlet menjadi mangsa apabila kontrak mereka ditamatkan dan elaun dikurangkan.

Malah dana tersebut juga boleh digunakan untuk bantu atlet-atlet yang kesempitan hidup ketika ini. Baru-baru ini tulas apabila bekas atlet paralimpik negara, Koh Lee Peng yang telah mengharumkan nama negara dengan memenangi tujuh emas dan tiga perak kini terpaksa menyara kehidupan dengan berniaga tepi jalan.

Koh Lee Peng adalah antara salah seorang atlet yang bergelut untuk menyara hidup biarpun sudah menabur bakti yang besar kepada negara. Jadi pihak KBS sepatutnya menggunakan dana yang ada untuk bantu atlet-atlet dan bukannya ‘buang’ untuk sesuatu yang belum pasti.

5. Kenapa tidak kurangkan kuota pemain import, sedangkan saban tahun masalah tunggakan gaji masih berlaku dalam Liga Malaysia?

Sumber foto: MUFC

Isu tunggakan gaji pemain bola sepak ini boleh dikatakan isu popular yang akan berlaku setiap tahun dan nampaknya isu ini akan terus membelenggu pasukan dari musim ke musim. Antara faktor yang menyumbang kepada masalah gaji adalah terlalu ramai pemain import yang dibenarkan dalam setiap pasukan iaitu lima pemain.

Semua sedia maklum bahawa pemain import ini mahal kerana kualiti yang ada pada mereka. Pihak pengurusan pasukan pula bersikap berbelanja ‘tidak ukur di baju sendiri’ dan rakus berbelanja besar kononnya untuk mantapkan pasukan, tetapi akhirnya memakan diri apabila tidak mampu membayar gaji pemain yang terlalu mahal.

Selain masalah gaji, antara faktor lain mengapa kuota pemian import perlu dikurangkan adalah kerana ia membataskan peluang pemain tempatan terutamanya pemain muda untuk mendapat minit permainan.

Sedar atau tidak, ia telah memberi impak yang cukup besar untuk skuad kebangsaan apabila kita kekurangan pemain muda berkualiti. Lihat saja skuad negara ketika ini.

6. Kenapa FAM tidak menetapkan had gaji untuk pasukan Liga Malaysia?

Sumber foto: MUFC

Mungkin ramai akan berkata tak perlu hadkan gaji pemain dan jika pasukan itu mampu apa salahnya. Ia untuk kebaikan pemain-pemain juga. Tetapi sedar atau tidak akibat tiada peraturan had gaji ini telah menyebabkan pelbagai masalah yang berlaku dalam pasukan Liga Malaysia ketika ini.

Ketika ini pasukan yang mempunyai bajet yang besar telah menggunakan taktik menawarkan gaji lumayan untuk menarik minat pemain itu untuk berhijrah. Ia telah memberi tekanan kepada pasukan yang tidak mempunyai bajet besar.

Mereka ini kadang-kala membuat tawaran balas jika mahu pemain itu kekal bersama pasukan mereka, tetapi ia akan menyebabkan masalah berlaku di kemudian hari apabila pasukan itu tidak lagi mampu membayar gaji pemain.

Apabila ini berlaku, prestasi pasukan sudah pasti akan jatuh teruk dan contoh terbaik dan terbaru adalah pasukan Perak FC yang mengalami masalah gaji pada pertengahan musim lalu yang menyebakan hampir separuh pemain meninggalkan pasukan itu.

Akibatnya Perak bergelut untuk menghabiskan saingan musim lalu dan akhirnya menamatkan saingan Liga Super di tangga tercorot dan jatuh ke Liga Perdana untuk musim ini.

Realitinya kesan dengan ketiadaan had gaji pemain telah menyebabkan pemain kini rela berhijrah ke pasukan yang mampu beri gaji lumayan walaupun tahu hanya akan memanaskan bangku simpanan sahaja. Ia secara tidak langsung akan menyebabkan prestasi pemain akan merosot kerana kekurangan minit permainan sekaligus akan jejaskan skuad kebangsaan.

7. Apa tujuan ‘feeder club’ jika pemain import dibenarkan bermain dalam pasukan itu?

Sumber foto: JDT

Liga luar buat ‘feeder club’, kita pun nak buat juga tapi kita sendiri tak faham apa itu ‘feeder club’ atau kita buat demi kepentingan diri sendiri? Secara umumnya ‘feeder club’ ini bertindak sebagai pasukan simpanan yang mana ia sepatutnya memberi peluang kepada pemain-pemain muda yang tidak dapat beraksi di skuad utama mendapat minit permainan.

Tetapi di Liga Malaysia lain pula berlaku apabila ia menjadi tempat simpan pemain import yang boleh ditukar sekiranya pemain import di skuad utama tidak dapat main akibat kecederaan atau masalah lain.

Ketika ini hanya empat pasukan sahaja di Liga Malaysia yang mempunyai ‘feeder club’ ini dan hanya memberi kelebihan kepada pasukan yang mampu sahaja kerana mereka dapat membawa masuk ramai pemain import sebagai pemain ‘simpanan’ yang boleh digunakan bila-bila masa.

‘Feeder club’ juga menjejaskan kualiti Liga Perdana apabila pasukan ini tidak boleh naik ke Liga Super walaupun berjaya mendominasi liga. Sebagai contoh, sekiranya keempat-empat ‘feeder club’ ini berada dalam kedudukan satu hingga empat, ia bermakna pasukan di Liga Perdana yang berada pada kedudukan kelima dan keenam akan layak ke Liga Super. Adakah kedua-dua pasukan ini mempunyai kualiti dan mampu bersaing dalam Liga Super? Sudah semestinya tidak. Jadi adakah kualiti Liga Super akan bertambah baik? Sudah semestinya tidak.

8. Adakah FAM tidak melihat keperluan untuk wujudkan semula Harimau Muda?

Sumber foto: Goal

Pada tahun 2007 FAM telah memperkenalkan pasukan Harimau Muda yang diberi peluang untuk beraksi di Liga Malaysia. Pasukan kebangsaan ini dibarisi oleh pemain-pemain muda menamatkan saingan pada musim tersebut di kedudukan kelapan liga.

Tetapi pada musim 2009 mereka telah mencipta kejayaan apabila berjaya menjuarai Liga Perdana dan mampu mara ke suku akhir Piala FA walaupun hanya dibarisi oleh seratus peratus pemain muda tempatan.

Ini membuktikan bahawa pemain muda jika diberi peluang dan mendapat minit permainan yang cukup, ia pasti akan membuahkan hasil yang positif. Jadi, ramai peminat berharap agar skuad Harimau Muda ini kembali diwujudkan.

Jika ia diwujudkan semula, beri peluang kepada mereka untuk naik ke Liga Super sekiranya mereka berjaya menjuarai Liga Perdana. Dengan ini ia secara tidak langsung akan memberi peluang kepada pemain muda ini bersaing dengan pasukan yang lebih hebat dengan pemain import. Ini akan membuatkan mereka pada prestasi terbaik dan bersedia untuk sertai kejohanan antarabangsa pada bila-bila masa sahaja.

9. Kenapa FAM tak lantik syarikat luar (third party) untuk audit bajet setiap pasukan yang bertanding di Liga Malaysia?

Sumber foto: Unifi

Liga Malaysia dan masalah gaji tidak dapat dipisahkan. Tetapi perkara itu dapat dielakkan jika FAM mengambil inisiatif untuk melantik sebuah syarikat luar untuk mengendalikan audit pasukan-pasukan yang bertanding di Liga Malaysia.

Setiap pasukan perlu diaudit setiap penghujung musim bagi memastikan mereka berbelanja mengikut bajet yang telah ditetapkan selain mengesan jika ada sebarang ketirisan atau apa-apa sahaja perkara yang boleh menjejaskan kewangan pasukan.

Jika ia diwujudkan, masalah gaji dapat dikurangkan dan selepas ini mungkin tidak wujud lagi masalah ini dalam Liga Malaysia. Apabila tiada masalah-masalah dalaman pasukan terutamanya kewangan, ia secara tidak langsung akan menaikkan lagi kualiti liga kita.

10. Kenapa FAM tidak ikut contoh terbaik seperti Thailand untuk jalin kerjasama dengan beberapa kelab luar negara untuk tujuan pembangunan pemain?

Sumber foto: JFA

FAM sepatutnya mengambil langkah yang proaktif dalam mencari jalan untuk pembangunan pemain. Tidak dapat dinafikan FAM sememangnya mempunyai program akar-umbi yang agak baik, tetapi apa salahnya jika mereka mengikut jejak langkah Thailand.

Pada tahun 2017 Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) yang mana kedua-dua badan induk bola sepak itu akan bekerjasama dalam pembangunan bola sepak di Thailand dan Jepun.

Usaha ini telah terbukti berjaya apabila semakin ramai pemain dari Thailand kini mencipta nama di Liga Jepun. Terbaru, kapten kebangsaan Thailand iaitu Chanathip Songkrasin telah menjadi tumpuan apabila beliau menjadi salah seorang pemain termahal di J-League selepas berhijrah ke pasukan juara liga Kawasaki Frontale.

Jadi tidak hairan mengapa kualiti liga di Thailand ketika ini adalah yang terbaik di rantau Asia Tenggara. Jadi persoalannya kini bilakah FAM akan mengambil langkah yang sama?

11. Kenapa FAM tidak memberi layanan sama rata antara jurulatih tempatan dan luar negara?

Sumber foto: Sabah FC

Mungkin bagi bukan peminat tegar bola sepak tidak tahu, tetapi sebenarnya difahamkan terdapat perbezaan layanan kepada jurulatih tempatan dan luar negara.

Antara yang paling jelas adalah bayaran gaji yang tidak sama yang mana gaji jurulatih luar negara lebih tinggi berbanding jurulatih tempatan walaupun jurulatih tempatan memegang jawatan sebagai ketua jurulatih manakala jurulatih luar negara sebagai penolong jurulatih.

Mungkin isu ini agak terpencil, namun peminat turut mahu nasib jurulatih tempatan terbela kerana kita juga mempunyai jurulatih-jurulatih yang cukup berkaliber dan setanding jurulatih dari luar negara.

12. Liga Malaysia kekurangan pengadil berkualiti. Kenapa sehingga kini tidak wujudkan persatuan pengadil (entiti) berbeza di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS)?

Sumber foto: FAM

Saban tahun masalah kualiti pengadilan di Liga Malaysia sentiasa dipersoal oleh peminat. Sudah terlalu banyak ‘kesilapan-kesilapan’ yang tidak sepatutnya berlaku sehingga ia menjejaskan perlawanan.

Malah keputusan meragukan dan berat sebelah menjadi bahan kecaman peminat dan juga jurulatih sendiri yang tidak berpuas hati dengan kualiti pengadil tempatan. Kenapa pengadil tempatan tidak berkualiti? Jawapannya sangat mudah iaitu kita tidak mempunyai pengadil sepenuh masa.

Pengadil-pengadil yang ada ketika ini adalah pengadil separuh masa yang mana mereka ini hanya mendapat elaun yang sedikit untuk setiap perlawanan. Jadi tidak hairanlah mengapa mutu pengadilan sesetengah pengadil boleh dikatakan sangat teruk.

Bagaimanapun FAM boleh mengelak dan mempertingkatkan kualiti pengadilan di liga dengan menubuhkan satu persatuan pengadil iaitu satu entiti berasingan di bawah KBS yang mana kita melatih pengadil sepenuh masa.

Dengan adanya persatuan yang melatih pengadil sepenuh masa ia dapat mengelak dari berlakunya keputusan-keputusan yang meragukan atau berat sebelah dan yang penting tidak timbul lagi isu pengadil dibeli.