JDT beri persembahan ‘high standard’ menentang Perak FC – Esteban Solari

201

Ketua jurulatih pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Esteban Solari mengambarkan kemenangan bergaya pasukannya malam tadi sebagai permainan ‘high standard’ selepas mereka membelasah Perak FC 8-1 untuk mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 dengan agregat 12-2.

Solari berkata kesemua anak buahnya telah bermain dengan cemerlang dan fokus dengan peranan masing-masing di atas padang.


“Saya menasihati mereka untuk memberikan tumpuan penuh terhadap perlawanan malam ini dan mengibaratkan hari esok tidak wujud.

Sekiranya mereka bermain dengan baik malam ini, hari esok mereka telah satu langkah mempertahankan gelaran juara Piala Malaysia,”

katanya.

Beliau ternyata amat teruja untuk sekali lagi berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Malaysia dan berhasrat untuk memenangi perlawanan itu.

Solari juga mengucapkan tahniah buat pasukan The Bos Gaurus secara keseluruhannya atas pencapaian mereka yang memberansangkan sepanjang kejohanan ini sehingga ke pusingan separuh akhir.

Apabila disoal tentang persediaan pusingan akhir itu, Solari berkata beliau hanya ingin terus fokus pada pasukannya kerana dirinya percaya apa jua boleh terjadi sewaktu hari perlawanan.

“Pasukan JDT perlu fokus kepada kejohanan AFC Champions League menentang pasukan Korea, Ulsan Hyundai FC yang akan berlangsung pada 7 November ini dahulu.

Setelah itu, barulah kami akan tumpukan sepenuh perhatian kepada perlawanan akhir Piala Malaysia.”