JDT salurkan hasil jualan tiket perlawanan ke Palestin, masih tiada pasukan ikuti jejak langkah?

111

Baru-baru ini Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menitahkan pihak pengurusan pasukan naungannya Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menyalurkan kesemua jumlah kutipan tiket perlawanan Kelab Bolasepak pasukan di laman sendiri itu ke tabung kemanusiaan Palestin sehingga ke penghujung musim.

Tindakan itu semestinya cukup drastik dan amat dikagumi oleh ramai pihak melihatkan krisis ‘pembunuhan beramai-ramai’ di Palestin selepas serangan berterusan tentera rejim zionis Israel yang masih berterusan dan semakin memburuk.


Ianya sekaligus menjadikan JDT sebagai pasukan yang mengetuai langkah melaksanakan inisiatif tersebut.

Seluruh pihak dari pasukan itu menyatakan kesedihan mereka atas peperangan yang sedang berlaku di timur tengah itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif JDT Alistair Edwards menerusi ciapan di laman rasmi pasukan itu di semua aplikasi media sosial mereka.

Selain itu, pihak Terengganu FC juga telah menyeru para penyokongnya untuk sama-sama mengibarkan bendera Palestin sebelum perlawanan sebagai tanda solidariti sewaktu menentang Kuala Lumpur FC di separuh akhir pertama Piala Malaysia 21 Oktober lalu.

Tatkala perlawanan timbal balik separuh akhir kedua semalam, skuad Penyu itu menyambung tindakan mengibar bendera dan juga menggalakkan penyokong yang hadir ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk menyumbang kepada Tabung Derma Palestin yang ditempatkan di setiap pintu masuk stadium yang diuruskan oleh Jabatan Urus Setia Belia Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera.

Sudah tentu hampir kesemua pasukan pastinya menyediakan kutipan luar stadium juga tetapi setakat ini, belum ada yang mencontohi tindakan setinggi apa yang dilakukan pasukan JDT.

Sebagai contoh, pasukan Selangor FC yang ternyata kurang terpalit dengan isu kewangan dan konsisten membayar gaji pemain, meneruskan operasi, penajaan dan pengangkutan malah mampu mengeluarkan sejumlah wang yang besar untuk pembinaan stadium baharu, masih belum didengari ura-ura akan mengikuti jejak itu.

Pasukan Red Giants merupakan salah satu pasukan yang berpengaruh besar dan diminati ramai penyokong yang tidak hanya merupakan anak jati Selangor dan mereka yang menetap di negeri Darul Ehsan ini.

Pastinya dengan hanya untuk menyumbangkan hasil jualan tiket perlawanan di tempat tuan rumah ke dana kemanusiaan Palestin mungkin bukanlah suatu perkara yang perlu dirunding terlalu lama.

Bagaimana pula dengan pasukan-pasukan lain yang kekal menjaga kebajikan skuad dan masih mampu membayar gaji pemain setiap bulan?

Antaranya adalah pasukan Kuching City FC, Perak FC dan Sri Pahang FC.

Tidakkah terdetik buat pihak pengurusan skuad-skuad ini untuk melakukan tindakan yang sama atau alternatif yang berbeza dan lebih baik demi aspek kemanusiaan sesama insan?

Dengan peperangan yang masih melarat dan kritikal saban hari itu, diharapkan lebih banyak pasukan yang mahu bersama-sama membantu mereka yang memerlukan selain mendoakan yang terbaik buat mereka yang sedang berjuang.