Akram Mahinan setuju jika Romel Morales dinaturalisasikan

685

Pemain tengah kebangsaan Akram Mahinan bersetuju sekiranya pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu jadikan pemain import KL City FC, Romel Morales sebagai pemain naturalisasi baru.

“Dia muda, boleh dibentuk dan paling penting akan terima segala teguran daripada jurulatih. Seperti jurulatih (Bojan Hodak) cakap sebelum ini masa musim pertama Romel agak berat iaitu lebih kurang 80kg.

Hari-hari kena lanyak dengan jurulatih dan akhirnya kita sendiri dapat melihat perubahan ketara yang berlaku pada Romel sehingga beliau dinobat sebagai penjaring terbanyak pada saingan Piala Malaysia dengan 10 jaringan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain penjaring terbanyak Piala Malaysia, Romel juga dinobat sebagai Pemain Import Terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021 (ABK 21).


Tambah Akram lagi, beliau yang sudah lama bermain bersama Romel mengakui pemain itu mempunyai mental yang kuat dan sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik.

Oleh itu Akram berkata jika FAM ingin sambung semula projek naturalisasi, mereka perlu cari pemain seperti Romel.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapannya untuk menghadapi musim 2022, pemain yang berasal dari Kulim, Kedah ini memberitahu beliau baru sahaja menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun bersama KL walaupun mendapat tawaran dari pasukan lain.

“Saya memang ada dapat tawaran dari Terengganu FC tetapi saya pilih untuk terus kekal bersama KL sebab sudah selesa di sini. Selain itu apa yang membuatkan saya mahu kekal adalah KL keharmonian yang wujud di antara pemain, jurulatih dan pihak pengurusan.”

Selepas berjaya menjulang trofi Piala Malaysia 2021 dan menamatkan kemarau 32 tahun KL tanpa piala, Akram nekad mahu bantu pasukannya untuk memperbaiki kedudukan Liga Super pada musim ini.

Pada masa sama beliau turut menyuarakan keyakinannya dengan perancangan Bojan untuk musim ini yang mana mereka membawa masuk ramai pemain muda berkualiti.

Untuk musim ini KL bukan sahaja akan bermain dalam saingan Liga Malaysia, tetapi juga akan beraksi di pentas Piala AFC bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC).