BAM tidak boleh halang jurulatih tempatan berhijrah ke luar negara – Norza Zakaria

61

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memberitahu pihaknya tidak dapat menghalang mana-mana jurulatih tempatan yang mahu berhijrah ke luar negara.

Norza berkata demikian selepas dunia badminton negara dikejutkan dengan peletakan jawatan Wong Choong Hann sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas beliau menerima tawaran menjadi ketua jurulatih perseorangan Hong Kong.


“Pemain-pemain kita mempunyai kualiti tersendiri dan apabila mereka bersara kebanyakan daripada mereka menjadi jurulatih. Lagenda-lagenda kita banyak yang jadi jurulatih, membina akademi dan ada yang pergi ke luar negara.

Wong Choong Hann adalah seperti jurulatih-jurulatih yang saya katakan tadi iaitu mereka telah menarik minat negara-negara yang sedang membangun dalam badminton dan contohnya Wong Choong Hann pergi ke Hong Kong.

Kita tidak boleh elak perkara ini dari berlaku,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Susulan pemergian Choong Hann ke Hong Kong, BAM telah melantik Rexy Mainaky sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan dan Beregu ABM.

Dalam pada itu, Norza berkata pelantikan Rexy sebagai Pengarah Kejurulatihan ABM adalah tepat kerana walaupun jurulatih itu berasal dari Indonesia tetapi beliau sudah lama berada di Malaysia dan cukup memahami pemain-pemain negara.

“Pemilihan Rexy Mainaky walaupun beliau orang Indonesia tetapi beliau sudah lama berada di Malaysia. Beliau pernah bekerja dengan BAM dan walaupun beliau kemudian berhijrah namun keluarganya masih tinggal di Kuala Lumpur.

Jadi beliau faham dan sentiasa mengikuti perkembangan pemain-pemain kita. Oleh sebab itu kita lantik Rexy memegang jawatan sebagai Pengarah Kejurulatihan untuk perseorangan dan beregu.

Saya tiada masalah kerana kalau kita melihat dalam Rexy punya kombinasi juga mempunyai ramai jurulatih tempatan.”

Tambahnya lagi, selagi mereka tahu aspirasi apa yang BAM ingin capai dan membantu kepada peningkatan pemain-pemain negara, maka mereka sangat penting dalam seluruh ekosistem badminton negara.

Sementara itu, Norza yang akan melepaskan mengosongkan kerusi nombor satu badan induk badminton negara lebih awal berbanding tamat Sukan Olimpik Paris 2024 iaitu pada hujung tahun ini berharap penggantinya Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz dapat meneruskan legasinya sekaligus dapat membawa badminton negara ke tahap lebih tinggi di dunia.