Lee Chong Wei adalah seorang pemain badminton yang melambangkan kesetiaan, kecemerlangan & tak pernah putus asa

105

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memberitahu bahawa tiada mana-mana pemain badminton negara yang dapat menggantikan lagenda Datuk Wira Lee Chong Wei.

“Tentu sahaja pengganti Chong Wei tidak akan sama seperti Chong Wei. Chong Wei adalah seorang pemain yang melambangkan satu kesetiaan kerana beliau bersama BAM selama 19 tahun.

Kedua kecemerlangan di peringkat tinggi yang mana beliau memegang gelaran No. 1 dunia beratus minggu atau bertahun lamanya dan ketiga ialah melambangkan orang yang tidak pernah putus asa,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Norza turut berkongsi cerita mengenai semangat juang tinggi dan tidak pernah putus asa Chong Wei selepas beliau terpalit dengan kontroversi isu dopping.


“Ketika kes dopping beliau, ranking beliau jatuh ke 180 lebih dunia tetapi selepas itu beliau pergi ke Amerika Syarikat sendiri untuk bermain dalam kejohanan kecil dan terus menyertai kejohanan demi kejohanan dan akhirnya kembali menjadi pemain top dunia.”

Beliau mengakui Chong Wei sukar untuk dicari ganti, namun BAM tetap dengan proses mereka untuk melahirkan ramai pemain berkelas dunia.

Dalam pada itu, Norza memberitahu pengunduran bekas pemain No. 1 dunia itu dari dunia badminton telah menjadi ‘wake up call’ buat BAM kerana terlalu selesa berada dibawah kejayaan Chong Wei selama 10 tahun.

“Selama 10 tahun kita terlalu selesa berada dibawah kejayaan Chong Wei dan kita rasa itu kejayaan badminton negara.

Kejayaan badminton negara adalah apabila setiap department perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran melahirkan ramai pemain-pemain berkelas dunia, jadi itulah kejayaan sebenar.

Walaupun persaraan itu menyedihkan kita apabila permata hilang ia juga telah memberi kita ‘wake up call’ untuk kita lakukan sesuatu supaya tidak terlalu bergantung pada satu-satu pemain.”

Pada tahun 2019 dunia badminton dikejutkan dengan pengunduran Chong Wei selepas disahkan mengidap kanser hidung.