Persaingan sihat di antara pemain BAM dan profesional beri manfaat kepada badminton Malaysia

54

Jika sebelum majoriti besar pemain badminton Malaysia yang bersaing di kejohanan antarabangsa daripada pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), namun kini negara turut diwakili oleh pemain profesional bebas.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria melihat perkara ini sebagai sesuatu yang cukup bagus untuk badminton negara.


“Sejak saya pegang jawatan, saya sentiasa cuba mengadakan persaingan sihat di antara pemain BAM dan pemain di luar. Kalau kita lihat hari ini pemain-pemain di luar ketika ini rata-ratanya adalah pemain BAM.

Jadi ini merupakan persaingan yang memang kita nak lihat kerana bila kita lihat hari ini kita pergi mana-mana kejohanan kita lihat pemain profesional dan pemain BAM membawa objektif yang sama iaitu membawa bendera Malaysia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Norza juga berkata tidak kira pemain BAM atau pun pemain profesional, mereka seharusnya meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai keputusan pemain perseorangan utama negara Lee Zii Jia mengambil keputusan untuk keluar dari BAM, beliau berkata pihaknya bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh pemain itu.

Beliau pada masa sama turut berkata pihak BAM juga akan memberikan sokongan penuh kepada Zii Jia dan juga pemain profesional negara lain.

Sementara itu, Norza juga berkata biarpun Zii Jia sebelum ini bergelut dengan prestasi tidak konsisten namun beliau kini berada di landasan tepat selepas akhirnya berjaya menemui jurulatih yang sesuai iaitu Wong Tat Meng.

“Sudah tentu bila kita berada di luar sana ia tidak sama seperti berada di dalam BAM di mana semua benda disediakan dan anda hanya turut gelanggang untuk bermain.

Bila anda jadi pemain profesional anda perlu susun jadual dan cari jurulatih sendiri dan ini saya tahu ia dikendalikan oleh pengurusan Zii Jia dan saya yakin dan percaya ‘the growing pain is there’ kerana nak cari jurulatih yang sesuai tapi hari ini beliau sudah dapat jurulatih yang sesuai serta keadaan sudah menjadi lebih baik.”

Pada masa sama Norza juga berkata dengan zaman sosial media ketika ini, pemain perlu menerima kritikan-kritikan dan apa yang paling penting adalah untuk seseorang pemain itu menetapkan sendiri hala tuju kariernya dan impian yang ingin dicapai.