Emas pertama Malaysia di Olimpik akan mengubah landskap sukan negara – Norza Zakaria

53

Presiden Majlis Sukan Olimpik (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria percaya sekiranya Malaysia berjaya memperoleh pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024 nanti ia akan mengubah landskap sukan negara.

“Sekiranya kita berjaya mendapat pingat emas pertama di Olimpik, saya percaya ia akan mengubah landskap sukan negara dan akan memberi inspirasi kepada ramai anak-anak muda untuk mengikuti jejak langkah kecemerlangan itu.

Setiap atlet akan menjadikan pingat emas di Olimpik sebagai kemuncak penglibatan mereka dalam sukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dengan temasya empat tahun sekali itu semakin menghampiri, Norza sedar dengan harapan menggunung seluruh rakyat Malaysia untuk melihat kemarau pingat emas di Olimpik berakhir.


Dalam pada itu, untuk memastikan impian tersebut dapat dicapai pihak Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) telah mewujudkan program Road To Gold (RTG) yang mana sejumlah besar dana diperuntukkan untuk program tersebut.

Menerusi program RTG, Norza turut sama berada dalam program tersebut sebagai Pengerusi bersama.

“Bila kita adakan program RTG kita sudah senarai pendek beberapa atlet yang berpotensi untuk mendapat pingat emas di Paris nanti dan kemudian di Los Angeles (2028).

Sukan-sukan yang terlibat dalam program ini adalah badminton, berbasikal, terjun dan angkat berat. Kesemua atlet dalam program ini berpotensi dan kita berharap salah seorang daripada mereka ini dapat realisasikan impian kita untuk dapat pingat emas pertama negara.”

Antara nama atlet yang berpotensi besar untuk merealisasikan impian negara itu adalah jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.