Datuk Dell Akbar kecewa dengan laporan ‘post-mortem’ FAM

1,800

Pengerusi Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya, Datuk Dell Akbar meluahkan rasa kecewanya apabila laporan yang disediakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak lengkap.

“Laporan ini dikumpulkan oleh pentadbir FAM sebelum diserahkan kepada pihak kami. Berdasarkan laporan yang kita ada, kita jadikannya sebagai asas untuk kita siasatan dan kajian.

Tapi perlu saya nyatakan di sini adalah laporan-laporan yang diterima adalah satu laporan yang sangat mengecewakan bagi saya. Ia bukan laporan seperti yang saya jangkakan. Laporan itu tidak komprehensif, tidak mempunyai fakta mengenai permainan dan tiada isu-isu teknikal yang dilaporkan ke arah mana kegagalan itu timbul,”

katanya.

Tambah Datuk Dell lagi, siasatan mereka menjadi semakin rumit apabila bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe dan pembantunya S Balachandran tidak mahu tampil untuk di temuduga.


Berikutan itu, beliau mencadangkan agar FAM akan membuat satu laporan ‘template’ untuk rujukan pada masa hadapan.

Dalam pada itu, sidang media mengenai laporan ‘post-mortem’ kegagalan pasukan kebangsaan di saingan Piala AFF 2020 di Singapura dikritik hebat oleh peminat bola sepak tempatan.

Peminat nyata kecewa dengan laporan ‘post-mortem’ yang disifatkan seperti tiada makna atau sesuatu baru yang dijumpai, sebaliknya seperti memberitahu apa yang peminat sudah tahu sebelum ini.

Malah laporan itu dilihat seolah-olah menuding jari kepada ‘orang bawahan’ dan bukannya mereka yang berada di pengurusan tertinggi.

“Kalau setakat buat bedah siasat lepas tu salahkan orang buat apa? Bebal tak sudah. B***h!,”

tulis Mohd Ridzuan di ruangan komen Harimau Malaya.

Seorang lagi peminat Fhame Sharp pula mengecam tindakan badan siasatan yang seolah-olah menyalah ‘pelaksana’ tetapi ‘perancang’ lepas tangan.

“Takkan semua salah pelaksana, perancang semua lepas tangan. Bengap nak mampus bola Malaysia macam ni.”

Ramai lagi peminat yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap laporan ‘post-mortem’ oleh badan siasatan bebas itu dan pelbagai tohmahan dilemparkan kepada mereka.

Dalam sidang media yang sama, Datuk Dell turut mendedahkan bahawa mereka mendapati bahawa ketiadaan pemain ‘core’ menjadi antara faktor kegagalan pasukan Malaysia di saingan Piala AFF 2020.

Tambahnya Tan Cheng Hoe beranggapan tidak mendapat sokongan apabila beliau menamakan beberapa ‘core players’ daripada kelab-kelab tertentu.

Manakala pengurusan pasukan pula kelihatan tidak berani untuk memberikan sokongan kepada pemilihan beliau ketika Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM menegaskan bahawa isu sebegitu tidak timbul kerana mana-mana pemain pun boleh diperolehi oleh ketua jurulatih untuk dipilih beliau.

Antara faktor lain yang didapati adalah faktor yang sudah diketahui oleh peminat sebelum ini, tetapi terdapat satu dapatan yang menarik perhatian iaitu pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh menolak panggilan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Alasan masalah keluarga yang diberikan nyata tidak menyenangkan peminat kerana pemain-pemain lain turut mempunyai masalah keluarga tetapi sanggup berkorban demi negara.

Banyak lagi dapatan dan cadangan yang diberikan oleh badan siasatan bebas yang mana peminat merasakan seperti tiada jawapan konkrit dan sangat mengecewakan.

Sementara itu, selain laporan ‘post-mortem’ dalam sidang media yang sama pihak FAM turut mengumumkan perlantikan ketua jurulatih baru Malaysia dari Korea Selatan iaitu Kim Pan-gon.