Lee Zii Jia kini perlu tentu kariernya

368

BAM balas balik pukulan shuttle kepada Lee Zii Jia. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini telah membuat keputusan untuk tidak mendaftarkan pemain itu dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun.

Keputusan itu dibuat selepas jaguh perseorangan negara yang juga juara Seluruh England meletak jawatan sebagai pemain BAM baru-baru ini.


Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos selepas melakukan pertimbangan yang panjang dalam mesyuarat BAM.

Berdasarkan pengumuman terbaru ini ada pro dan kontra.

Pro:

1. BAM tegas tapi masih ada belas kasihan

Menerusi pengumuman terbaru ini walaupun dilihat agak keras apabila ‘menggantung’ pemain itu selama dua tahun, namun mereka masih lagi ‘sayangkan’ Zii Jia apabila masih membuka pintu rundingan buatnya untuk kembali bersama BAM.

2. BAM mahu elak pengaruh tidak baik dikalangan pemain junior

BAM terpaksa membuat keputusan ‘keras’ ini kerana mahu balas dendam tetapi tidak mahu pengaruh tidak baik kepada pemain-pemain junior BAM. Jika BAM tidak ambil sebarang tindakan, pemain junior akan beranggapan mereka juga boleh berbuat seperti sekiranya mereka sudah menjadi ‘bintang’.

3. Projek 2024 masih dalam penajaan

Berita perletakan jawatan Zii Jia sedikit sebanyak merencatkan Projek 2024 BAM dan pada masa sama ia membuatkan penaja berasa kurang yakin dengan badan induk badminton negara berikutan pemain bintang mereka ambil keputusan untuk tinggalkan BAM. Oleh itu, keputusan itu dibuat bagi melindungi kepentingan pemain-pemain lain yang terlibat dalam projek ini.

Kontra:

1. Karier Lee Zii Jia akan hancur

Sekiranya Zii Jia masih berkeras dan enggan kembali kepada BAM, kariernya hampir pasti akan musnah kerana mana-mana pemain yang tidak dapat beraksi di kejohanan antarabangsa, sudah pasti prestasi mereka akan menjunam dan jika dapat bermain semula sudah pasti prestasinya tidak akan kembali seperti sebelum ini. Ia pasti akan merugikan negara.

2. Lee Zii Jia mungkin akan cari loophole kontraknya dengan BAM

Dalam setiap kontrak pasti akan loophole yang boleh dimanipulasikan. Sekiranya BAM tidak membenarkan Zii Jia untuk mewakili Malaysia, beliau boleh bermain untuk negara lain seperti Singapura seperti bekas rakan seperjuangan Loh Kean Yew. Tetapi sanggupkah beliau korbankan kewarganegaraan Malaysia?

3. Jika Lee Zii Jia kekal, mungkin akan jadi toksik dalam kem BAM

Lee Zii Jia mungkin akan kembali ke BAM tetapi jika keputusan itu dibuat secara terpaksa, ia akan menyebabkan suasana toksik dalam kem BAM sendiri kerana beliau sendiri sudah ‘tiada hati’ mahu bermain untuk BAM. Secara tidak langsung ia akan menjejaskan keharmonian dikalangan pemain.

Apa-apa pun kita perlu nantikan kenyataan daripada tuan punya badan iaitu Zii Jia sendiri mengenai keputusan BAM ini.

Samada beliau akan membuat u-turn  atau berdiri teguh dengan keputusannya.