Isu prestasi itu kerja MSN, bukan kerja PJS! – Tan Sri Norza Zakaria

116

“Be a watchdog, not a bloodhound.”

Itu kenyataan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria hari ini yang merasakan wujudnya kelemahan yang ketara di dalam sistem pentadbiran Pesuruhjaya Sukan (PJS). 

Ianya berpalit kepada kenyataan PJS baru-baru ini yang meminta pendaftaran badan induk itu untuk dibatalkan atas kegagalan di Sukan Sea Kemboja Mei lalu sekali gus memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. 


Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu tegas menyatakan bahawa pihak PJS lebih banyak berburuk sangka dan menjurus kepada kesimpulan tanpa usul periksa. 

“Persatuan-persatuan yang terlibat adalah persatuan ‘five star’ yang diiktiraf oleh pihak mereka sendiri.”

“Sudah bertahun, urusan tatakelola kita berada dalam keadaan yang baik.”

Beliau yang ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara pagi ini menyoalkan maksud sebenar pihak PJS dalam menyuarakan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dipertikaikan, melihatkan usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bersungguh melahirkan ekosistem yang harmoni. 

“Daripada tatakelola, beliau menegur soal prestasi. Itu adalah kerja Majlis Sukan Negara (MSN), bukan Persuruhjaya Sukan (PJS).” 

“Siapa yang melatah sebenarnya?!”

Tan Sri Norza turut sekali lagi memohon bantuan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam meleraikan konflik ini kerana ianya bukanlah suatu isu yang ringan. 

“Seseorang yang seharusnya dilihat bersih, ‘neutral’, hakim dan putih tetapi memiliki sikap sebegitu, bagaimana kami sebagai badan sukan mampu meletakkan keyakinan kepada sistem urus tadbir begini?”

“Tindakan paling penting adalah untuk mengembalikan keyakinan badan-badan sukan kepada sistem urus tadbir PJS.”