Selangor FC ada kelebihan isi slot ke Asia dengan bantuan pemain dari skuad kebangsaan

96

Selepas berehat kira-kira sebulan, saingan Liga Super akan kembali lagi bermula malam ini dengan perlawanan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kuching City.

Tumpuan kini semuanya terarah ke saingan untuk merebut kedudukan kedua, di mana ketika ini Selangor dan Kedah sedang bersaing rapat, masing-masing dengan 52 dan 50 mata berbaki tiga perlawanan.


Pertembungan antara kedua-dua pasukan itu pada minggu depan kemungkinan besar akan menentukan kedudukan terakhir siapa yang bakal menjadi wakil negara ke saingan AFC Champions League 2 2024/25.

Berdasarkan kedudukan liga, Selangor dilihat mempunyai kelebihan berbanding Kedah untuk mengisi slot ke saingan AFC musim depan.

Selain itu, sebahagian pemain Selangor juga pastinya akan membawa pulang momentum serta mood yang tinggi bersama skuad kebangsaan ke dalam pasukan mereka.

Pemain seperti Faisal Halim, Brendan Gan, Mukhairi Ajmal dan Sharul Nazeem yang menyertai skuad kebangsaan baru-baru ini akan menjadi kunci buat Selangor memburu kedudukan kedua liga hingga hujung musim.

Berbeza dengan Kedah yang tidak mempunyai satu pun wakil yang terpilih ke skuad kebangsaan dalam panggilan kali ini.

Dengan gol penting yang dijaringkan pada saat-saat akhir ketika menentang Kyrgyzstan, Faisal Halim terutamanya pastinya menjadi harapan pasukan serta penyokong untuk meneruskan rentak cemerlangnya dengan negara bagi membawa Selangor ke pentas Asia.

Ini merupakan peluang terbaik buat Selangor kembali ke pentas Asia selepas kali terakhir beraksi dalam saingan Piala AFC pada tahun 2016.