Kebergantungan pasukan bola sepak terhadap kerajaan negeri memang sukar dihakis

214

Kedah Darul Aman (KDA) FC akan menerima suntikan dana daripada Kerajaan Negeri Kedah walaupun ia diswastakan sepenuhnya, menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Katanya, suntikan kewangan tersebut termasuk dengan dana untuk gaji pemain, tetapi jumlahnya tidak dinyatakan.


Ini akan memberi satu tonik buat pasukan Kedah dalam menghadapi musim 2024, untuk mengelakkan isu tunggakan gaji yang berlaku pada musim ini berulang lagi.

Sanusi yang juga merupakan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) pada musim lalu sememangnya aktif dengan KDA FC.

Beliau berkata, kebanyakan pasukan bola sepak di Malaysia masih diberi sokongan oleh negeri terutama persatuan bola sepak negeri dan kerajaan negeri walaupun sudah diswastakan.

Sebelum ini, Kerajaan negeri Selangor juga mengumumkan suntikan kepada Selangor FC sebanyak RM10 juta yang diumumkan dalam Belanjawan Negeri 2024.

Nampaknya, kebergantungan kelab terhadap Kerajaan negeri masih tidak boleh dipisahkan kerana kelab tidak mempunyai dana yang cukup untuk bertahan sekiranya hanya mengharapkan dana sendiri atau tajaan.

Justeru, tidak hairanlah banyak pasukan yang tidak menerima dana dari Kerajaan negeri mengalami masalah kewangan.

Adakah ‘tradisi’ ini akan terus dipraktikkan oleh kebanyakkan kelab Liga Malaysia? Bilakah kelab-kelab Liga Malaysia akan mampu untuk berdiri atas kaki sendiri tanpa mengharapkan wang rakyat yang disalurkan daripada Kerajaan negeri?