Tiket ‘final’ Piala Malaysia 2023: Terengganu laku keras, penyokong JDT masih berpeluang dapatkan tiket

274

Lagi empat hari lagi sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 berlangsung yang akan menyaksikan penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara 2001, Terengganu FC bertemu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Kedua-dua peminat pastinya sudah tidak sabar untuk menyaksikan siapa yang bakal membawa pulang trofi Liga Malaysia terakhir yang ditawarkan untuk musim ini.


Berdasarkan jualan tiket di laman tickethotline, kuota tiket bagi penyokong Terengganu sudah habis dibeli, manakala penjualan tiket bagi penyokong JDT masih lagi dibuka.

Apa yang menakjubkan adalah, kuota tiket untuk penyokong Terengganu habis dijual dalam tempoh masa tidak sampai 24 jam!

Musim ini, JDT sudah meraih tiga kejuaraan iaitu Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Piala FA dan juga Liga Super.

Jika mereka berjaya menewaskan Terengganu pada Jumaat ini, JDT akan mencatat sejarah baharu menyapu bersih semua piala domestik selama dua musim berturut-turut.

Musim ini, JDT telah mencatatkan satu rekod yang mungkin tidak akan diulangi lagi oleh pasukan lain, iaitu dominasi dalam saingan Liga Super selama 10 musim berturut-turut.

Kejayaan meraih gelaran ‘quadruple’ akan menambah lagi kemanisan sambutan satu dekad kejuaraan Liga Super pada 16 Disember ini.

Ia bakal memadam rekod ‘double treble’ yang dilakar oleh Kedah pada tahun 2007 dan 2008.

Justeru, penyokong JDT seharusnya tidak melepaskan peluang ini untuk melihat pasukan kesayangan mereka mencatat satu sejarah baharu dalam bola sepak Malaysia.

Walaupun harga untuk perlawanan akhir Piala Malaysia ini (tiket bermula pada harga RM50) boleh dikatakan jauh lebih mahal berbanding harga tiket di Stadium Sultan Ibrahim (RM10), jurang perbezaan itu tidak akan dirasai apabila melihat pasukan kesayangan menjulang trofi di depan mata.