Saya tak nak bandingkan Ng Tze Yong dan Lee Zii Jia, boleh gaduh kalau buat – Hendrawan

106

Jurulatih perseorangan lelaki badminton negara, Hendrawan tidak mahu membanding-bandingkan prestasi Ng Tze Yong dan Lee Zii Jia dan hanya fokus melatih anak buahnya iaitu Tze Yong.

Katanya, beliau mahu memastikan Tze Yong berjaya layak ke Sukan Olimpik dengan mengutip mata yang mencukupi sehingga April ini.


“Saya hanya boleh cakap tentang Tze Yong saja, saya tak nak bandingkan kedua-dua pemain (Tze Yong dan Zii Jia) kerana kalau bandingkan boleh gaduh.

Jadi kita hanya fokus diri sendiri saja dan buat persiapan untuk kejohanan seterusnya,”

katanya.

Sementara itu, beliau menganggap bahawa Tze Yong kini sudah semakin meningkat dalam beberapa kejohanan yang disertai.

Tambahnya, anak buahnya itu harus meningkatkan tahap kecergasannya untuk bersaing di tahap yang lebih tinggi.

“Kita tahu kekurangan Tze Yong adalah dari segi kecergasannya, dan kebetulan ada rehat selama lima minggu jadi kita putuskan supaya beliau jalani latihan selepas tiga hari berehat daripada kejohanan sebelumnya.

Kita harus teruskan persiapan sehingga ke Malaysia Open nanti, kita dapat lihat prestasi beliau semakin meningkat, kalau dulu sukar lepasi suku akhir tetapi sekarang dah boleh melangkah ke separuh akhir dan akhir.”

Beliau juga berkata bahawa buat masa sekarang, Tze Yong tidak boleh memilih kejohanan yang mahu disertai kerana harus mengumpul mata maksimum yang mungkin untuk layak ke Olimpik tahun depan.