Mat Don bakal jadi ‘senjata’ utama Terengganu FC di final Piala Malaysia?

676

Bahang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 semakin kian terasa dengan kedua-dua pasukan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) kini dalam persiapan akhir sebelum sepak mula yang dijadual berlangsung pada 8 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Penjualan tiket juga mendapat sambutan luar biasa seperti ‘pisang goreng panas’ yang mana dijangka hampir 80,000 penyokong akan membanjiri stadium nanti.


JDT yang merupakan juara bertahan merupakan pasukan pilihan untuk menjuarai dengan TFC sebagai pasukan underdog biarpun ramai penyokong Sang Penyu meletak harapan tinggi untuk melihat pasukan kesayangan mereka menjulang trofi selepas kali terakhir berjaya berbuat demikian pada tahun 2001.

Perjalanan TFC dalam kempen Piala Malaysia musim ini cukup cemerlang apabila mereka berjaya menewaskan KL Rovers FC, Selangor FC dan KL City FC untuk menempat tiket ke perlawanan akhir.

Tidak dapat dinafikan pemain tengah sensasi Liridon Krasniqi menjadi watak yang cukup penting dalam kejayaan pasukan dari Pantai Timur pada kempen musim ini.

Liridon atau mesra dengan panggilan Mat Don ketika itu merupakan pemain pinjaman daripada JDT namun difahamkan bahawa kontrak pemain naturalisasi negara itu sudah tamat pada November lalu.

Namun beliau dikatakan akan terus menyarung jersi TFC sehingga hujung tahun ini apabila dilaporkan menandatangani kontrak selama sebulan kelab itu.

Ia adalah satu tindakan yang bijak daripada pihak pengurusan kelab kerana menyedari pentingnya Mat Don dalam pasukan berikutan pemain itu sudah memahami corak permainan yang dikehendaki oleh ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner.

Jadi tidak mustahil untuk melihat beliau akan menjadi jentera utama dalam menggerakan bola di bahagian tengah sekaligus boleh menjadi ‘duri dalam daging’ buat pasukan lawan.

Pasukan manakah yang akan menjulang Piala Malaysia tahun ini? Adakah kekal milik JDT atau menjadi milik TFC? Sama-sama kita tunggu dan lihat.