Sebelum aksi ‘final’, penyokong Terengganu & JDT boleh bersatu hati beri sokongan kepada skuad hoki negara

45

Kawasan sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dijangka akan penuh dengan kehadiran penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu pada Jumaat ini yang mahu menonton perlawanan akhir Piala Malaysia 2023.

Sehingga kini, kuota tiket untuk penyokong Terengganu sudah habis dijual, manakala tiket untuk penyokong JDT hanya tinggal kategori Premium Grandstand.


Selain daripada aksi akhir yang ditunggu-tunggu itu, terdapat juga beberapa program lain yang turut dianjurkan pada hari sama iaitu Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di tapak parker A dan B SNBJ, raptai akhir Gegar Vaganza di Axiata Arena dan juga Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di Stadium Hoki Bukit Jalil.

Untuk Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja, pasukan Malaysia akan turun beraksi menentang Australia pada pukul 2 petang.

Sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung 9 malam, penyokong kedua-dua pasukan JDT dan Terengganu boleh bersatu hati terlebih dahulu untuk memberikan sokongan kepada skuad hoki remaja negara.

Kehadiran untuk perlawanan itu adalah percuma, jadi penyokong boleh mengambil peluang ini untuk memberi sokongan padu kepada skuad negara.

Kapasiti tempat duduk di Stadium Hoki Nasional adalah sebanyak 12,000, tidak sukar untuk memenuhkan stadium tersebut sekiranya kedua-dua penyokong dapat hadir.

Bukan sahaja penyokong kedua-dua pasukan itu, tetapi orang ramai juga tidak seharusnya melepaskan peluang tersebut kerana masuk adalah percuma.