Lupakan strategi dan teknik, pastikan kesihatan mental terjaga – Rexy Mainaky

50

Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky menasihatkan pemain-pemain yang akan membawa cabaran negara dalam kejohanan BWF World Tour Finals supaya menjaga Kesihatan mental mereka.

Katanya, beliau percaya dan yakin dengan persiapan yang telah dilakukan oleh barisan kejurulatihan serta para pemain untuk kejohanan itu, namun menegaskan bahawa cabaran utama adalah untuk memastikan mental berada di tahap yang tertinggi.


“Semua sudah buat persiapan dengan baik, saya lihat jurulatih serta pemain sudah bekerja keras jadi saya cuma mahu katakan, lupakan strategi dan teknik, sekarang harus buat persediaan mental supaya tidak sakit, makan dan rehat dengan secukupnya.

Mengikut pengalaman, apa yang lebih sukar daripada kejohanan itu sendiri adalah perjalanan untuk ke sana jadi jagalah keadaan mental kerana akhirnya jika anda sudah lakukan persiapan yang rapi tetapi mental tidak berada di tahap yang baik, semuanya akan sia-sia,”

katanya.

Katanya, walaupun persiapan mereka untuk ke kejohanan itu agak singkat, beliau melihat pemain sudah memberikan yang terbaik ketika sesi latihan.

Katanya, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sendiri menyasarkan untuk membawa pulang pingat emas pertama buat Malaysia dalam kejohanan itu.

“Aaron dan Wooi Yik mahu cuba memenangi pingat emas untuk negara manakala Toh Ee Wei dan Chen Tang Jie akan berdepan lawan yang kuat , jadi ini satu kesempatan untuk mereka dapatkan pengalaman.

Saya lihat persiapan semua berjalan dengan baik dan pemain juga ada rasa sakit di badan, itu bermakna mereka berlatih dengan keras dan cukup baik.”

Tambahnya, beliau mahu memastikan kesemua pemain itu bebas daripada kecederaan supaya tidak mengganggu sasaran utama untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.