Tahap perseorangan wanita kita masih jauh, perlu kerja keras tiga kali ganda – Rexy Mainaky

66

Pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengakui bahawa tahap perseorangan wanita negara masih lagi jauh ketinggalan di peringkat antarabangsa.

Katanya, banyak usaha yang perlu dipertingkatkan untuk memastikan perseorangan wanita negara mampu kembali bersaing di kejohanan-kejohanan antarabangsa.


“Kita harus realistik, memang jika dilihat bahawa perseorangan wanita di BAM ini kena kerja keras tiga kali ganda lagi sama ada jurulatih dan juga pemain.

Ini memang satu masalah yang harus diselesaikan kerana tahap perseorangan wanita kita masih jauh,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Rexy bagaimanapun melihat terdapat kemajuan yang ditunjukkan oleh pemain contohnya Wong Ling Ching.

Beliau berharap tanggungjawab yang diberikan kepada jurulatih, K Yogendran untuk melatih perseorangan wanita senior dan Jeffer Rosobin untuk perseorangan wanita junior mampu menampakkan hasil pada masa hadapan.

“Sekarang ini kita ada Yogendran yang menjaga empat pemain wanita iaitu K Letshanaa, Wong Ling Ching, Oo Shan Zi dan Siti Nurshuhaini.

Manakala Jeffer pula menjaga tiga pemain junior sebagai persiapan untuk ke kejohanan Asian Junior dan World Junior.”