Selangor antara kelab sering guna pemain muda, mungkin lepas ini skuad B-23 banyak dari pasukan lain pula – Juan Torres Garrido

113

Ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Juan Torres Garrido berharap kelab-kelab tempatan akan memberi peluang lebih banyak buat pemain-pemain muda dalam saingan Liga Super mereka dapat menyesuaikan diri apabila bermain di peringkat antarabangsa.

Katanya, terdapat beberapa pasukan yang bagus dalam pembangunan pemain muda seperti Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT), Perak dan Terengganu, di mana pemain-pemain muda dari kelab berkenaan diberi peluang untuk beraksi dengan skuad senior.


“Selangor adalah antara pasukan yang gunakan ramai pemain muda, begitu juga JDT, Perak dan Terengganu, saya rasa itu adalah penting apabila mereka beraksi di kejohanan antarabangsa, mereka boleh menyesuaikan diri.

Untuk panggilan kali ini skuad adalah seperti ini, tapi pada masa hadapan mungkin kita dapat lihat pemain dari kelab lain lebih banyak, semuanya bergantung kepada situasi dan pemain yang ada,”

katanya.

Tambahnya, pada awal musim ini beliau melihat tidak ramai pemain B-23 yang bermain di Liga Super tetapi pada penghujung musim dapat dilihat semakin ramai yang diberi peluang.

Dalam pada itu, beliau gembira apabila beliau berpeluang untuk menyenaraikan pemain yang turut pernah mewakili skuad senior seperti Mukhairi Ajmal.

“Keutamaan pastinya kepada skuad senior kerana mereka sedang membuat persediaan untuk Piala Asia, tetapi kita berpeluang untuk mendapatkan pemain seperti Mukhairi, manakala Nooa Laine pula sedang menjalani pramusim dengan pasukannya, memandangkan ia bukan ‘FIFA days’, dia tidak boleh sertai kami.

Mana-mana pemain dari skuad senior yang boleh disenaraikan untuk skuad B-23, kami gembira untuk terima mereka.”

Katanya, untuk panggilan kali ini, beliau tidak dapat mengumpulkan pemain-pemain terbaik kerana ada yang mengalami kecederaan, dan ada pemain yang berada di Eropah tidak dapat turut serta kerana bukan dalam ‘FIFA days’.