Prestasi kurang konsisten pasukan Jordan, suatu permulaan baik buat Harimau Malaya di Piala Asia?

116

Barangkali Jordan adalah satu-satunya saingan yang mampu skuad Harimau Malaya ‘baham’ di dalam peringkat kumpulan E Piala Asia 2023.

Ianya melihatkan reputasi pasukan itu yang lebih menyaksikan kekalahan iaitu sebanyak tujuh kali sejak mendapat sentuhan jurulatih, Hussein Ammouta pada Jun tahun lalu.


Sejak itu, kekalahan yang dicatatkan pasukan itu adalah 6-0 menentang Norway, 2-1 bersama Azerbaijan, 3-1 bersama Iran, penalti 5-3 bersama Iraq, 2-0 bersama Arab Saudi, dan 2-1 bersama Lebanon.

Setakat ini, hanya sekali kemenangan berpihak kepada Jordan iaitu sewaktu melawan Qatar pada 6 Januari lalu dengan keputusan 2-1.

Selain itu, mereka pernah sekali mendapat keputusan seri satu sama melawan Tajikistan.

Perlawanan persahabatan menentang Jepun semalam turut menambah satu lagi bukti buat Jordan dengan kekalahan 6-1.

Mungkin ini mampu menjadi permulaan yang baik buat Malaysia setelah 44 tahun?

Ammouta juga merupakan seorang jurulatih yang berpengalaman, namun kemungkinan dan peluang buat pasukan Malaysia bagi memenangi perlawanan pada 16 Januari depan juga agak cerah.

Bekas pemain tengah itu pernah melatih kelab-kelab sukan dari negara timur tengah antaranya seperti Wydad Athletic Club (Wydad AC), Association’s Sports of Forces Armed Royal (ASFAR), Al Sadd, dan Fath Union Sport.

Beliau turut berkesempatan menjadi jurulatih kepada kelab yang pernah beliau bintangi iaitu Al Sadd SC dan Ittihad Zemmouri Khemisset.

Jika dibandingkan dengan prestasi skuad kebangsaan sepanjang tahun lalu, Malaysia mencatatkan rekod yang memberangsangkan.

Buktinya Harimau Malaya pernah mengalahkan pasukan Kyrgyzstan 4-3 dan Chinese Taipei 1-0 di perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia November lalu, selain memenangi 4-2 bersama India dan 2-0 menentang Tajikistan di suatu perlawanan persahabatan sebelum itu.

Pastinya Ammouta bakal menemui jalan sulit dan akan terus gigih ingin memberikan kejutan buat para penyokong Jordan dengan membuktikan kredibilitinya sebagai seorang jurulatih yang berkaliber dan sememangnya layak mengemudi pasukan itu.

Namun begitu, Malaysia tetap tidak boleh cepat selesa dalam menentang pasukan-pasukan sekumpulan kerana perlu diingatkan bahawa ianya adalah kejohanan berprestij dan bertaraf Asia yang tentunya akan memperlihatkan semangat juang dan kecekalan setiap pasukan yang terlibat.