Harap MFL bantu saya dapat bermain di Malaysia balik – Yazan Al-Arab

103

Pemain kebangsaan sensasi Jordan, Yazan Al-Arab menyuarakan hasratnya untuk kembali pulang beraksi dalam saingan Liga Super, Malaysia satu hari nanti kerana rindu dengan negara dan peminat di sana.

Yazan berkata demikian selepas beliau yang sebelum ini beraksi untuk Selangor FC telah dikenakan hukuman penggantungan seumur hidup daripada terbabit dalam sukan bola sepak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dek insiden tending pengadil pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023.


“Ia murupakan momen paling sukar buat saya pada perlawanan menentang Terengganu FC tapi itulah yang berlaku kepada saya.

Jadi saya harap MFL (Malaysian Football League) dapat bantu saya supaya dapat bermain semula di Malaysia kerana saya sayangkan Malaysia dan juga orang di sana,”

katanya.

Beliau pada masa sama turut berkata beliau sangat rindukan peminat The Red Giants kerana mereka sentiasa menyokong dan berada di belakang pasukan dalam apa sahaja situasi.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah buat Selangor atas kejayaan pasukan itu berjaya layak ke pentas Asia iaitu AFC Champions League 2 (ACL 2).

Terdahulu Yazan menjadi ‘duri dalam daging’ buat pasukan Malaysia apabila beliau berjaya membantu pasukannya Jordan untuk benam Harimau Malaya 4-0 dalam perlawanan pertama Kumpulan E Piala Asia 2023.

Sementara itu, kemenangan itu memberi pasukannya motivasi tambahan sebelum mereka turun menentang gergasi Korea Selatan.

“Alhamdulillah kami berjaya dapatkan tiga mata dan kini kami perlu fokus pada perlawanan seterusnya menentang Korea Selatan dan juga Bahrain supaya dapat layak ke pusingan seterusnya.”

Jordan akan turut menentang Korea Selatan pada 20 Januari dan Bahrain pada 25 Januari.