Persiapan serba kekurangan, Makram Daboub mohon after atas kekalahan Palestine

34

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Palestine, Makram Daboub memohon maaf kepada peminatnya selepas mereka tewas 2-1 kepada tuan rumah Qatar dalam perlawanan pusingan 16 Piala Asia 2023 malam tadi.

Menurut Makram, biarpun mereka tewas beliau tetap bangga dengan persembahan pemain-pemainnya yang telah memberikan aksi terbaik biarpun berdepan pelbagai masalah dalam membuat persiapan ke kejohanan kali ini.


“Saya sangat bangga dengan prestasi pasukan biarpun tewas kerana kami mengalami banyak masalah untuk membuat persiapan ke kejohanan ini apabila tidak dapat mengadakan perlawanan persahabatan dek masalah logistik.

Kami mahu banggakan orang Palestine dan mohon maaf atas kekalahan hari ini,”

katanya.

Beliau turut berkata pemain sudah pun memberikan yang terbaik di atas padang dan beliau tidak boleh minta lebih daripada pemainnya dengan apa yang berlaku kepada pasukan.

Dalam pada itu, Makram berkata selepas kempen mereka di Piala Asia berakhir, fokusnya kini adalah untuk mempersiapkan pasukannya untuk mengharungi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027 yang akan bersambung semula pada bulan Mac depan.

“Selepas ini fokus kami adalah kelayakan Piala Dunia. Saya sudah bersama pasukan kebangsaan Palestine selama 14 tahun di mana kami sentiasa berdepan situasi sukar dan tidak tahu apa akan berlaku.

Jadi kami akan cuba buat kem latihan di luar negara. Ada pemain yang menerima tawaran daripada pasukan lain untuk berlatih individu tapi kami harap dapat buat kem latihan bersama sebelum kelayakan bermula.”

Palestine yang diundi dalam Kumpulan I bersama Australia, Lubnan dan Bangladesh kini berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan satu mata hasil satu seri dan satu kekalahan.