Marquez Lopez masih belum berpuas hati dengan aksi Qatar biarpun mereka layak ke suku akhir Piala Asia 2023

32

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Qatar, Marquez Lopez masih belum berpuas hati dengan persembahan pasukannya biarpun mereka berjaya layak ke suku akhir Piala Asia 2023 selepas menewaskan Palestine 2-1 dalam aksi pusingan 16 malam tadi.

“Kami memang sudah layak ke suku akhir tapi saya masih menunggu persembahan lebih baik daripada pemain. Apa yang saya boleh katakan adalah permainan kami masih lagi belum tersusun.

Biarpun mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol, tapi kami gagal menyempurnakannya,”

katanya.

Lopez turut mengakui perlawanan malam tadi cukup sukar dan nostalgia apabila ia melibatkan pasukan Palestine.


Dalam pada itu, beliau turut mengakui mengambil pendekatan untuk bermain secara bertahan selepas memperoleh gol kedua.

“Ia adalah keputusan teknikal yang mana kita cuba untuk mendapatkan lebih keselamatan dan sebab itu saya tolak Pedro untuk bermain bertahan.

Kami juga tidak memandang rendah dengan pemain Palestine kerana sedar kualiti yang ada pada mereka.”

Sementara itu, beliau turut memuji pemain sensasinya Akram Afif yang terus bersinar sepanjang kempen Piala Asia apabila terus menyumbang gol buat pasukan.

Tambahnya lagi, Akram seorang pemain yang hebat dan banyak membantu pasukan ketika mereka berada dalam situasi sukar.