Misi ‘balas dendam’ skuad Malaysia di eAsian Cup bermula!

43

“Ini boleh dikatakan misi ‘balas dendam’ daripada perlawanan Piala Asia sebenar hari itu!”

Pandangan jurulatih pro-sukan elektronik, Shaharil Sharifuddin Shaharuddin (Ochibikun) itu diiringi harapannya semoga kemunculan eRimau di AFC eAsian Cup berjalan dengan lancar.

Menyaksikan susunan perlawanan peringkat kumpulan yang kesemuanya sama dengan kejohanan Piala Asia tempoh hari itu, beliau dapat merasakan hangatnya persaingan terutamanya dari pasukan Jordan.


“Kami target hingga ke suku akhir namun kami juga perlu realistik.”

“Lepaskan peringkat kumpulan terlebih dahulu, step by step.”

Katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur International Airport 1 (KLIA 1) pagi ini.

Juga bakal bertemu pasukan dari Bahrain dan Korea Selatan, beliau lebih memberi tumpuan lebih buat perlawanan bersama Jordan oleh sebab mereka memiliki salah seorang pemain juara dunia.

“Kami hanya akan berfikir positif, memandangkan formatnya 2 lawan 2, apa sahaja boleh berlaku.”

Shaharil turut menzahirkan kesyukuran diatas sokongan penuh pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang juga menyediakan fasiliti latihan yang terbaik.

Harapannya terhadap pasukan juga baik melihatkan prestasi memberansangkan semasa perlawanan persahabatan tempoh hari.

“Tekanan tentunya ada, tetapi kebanyakan antara mereka adalah pemain yang cukup berpengalaman untuk perlawanan antarabangsa.”

Beliau bersama dua lagi rakan pasukan, Mohamad Norhaikal Mohamad Noh dan Muhammad Khairul Abdul Aziz (Keron) telah berangkat ke Doha, Qatar hari ini.

Perlawanan AFC eAsian Cup akan mula berlangsung pada 1 Februari sehingga 5 Februari.