Harap peminat bertenang, Uzbekistan bukan pasukan terbaik dunia – Srecko Katanec

30

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Uzbekistan, Srecko Katanec minta peminatnya untuk bertenang berikutan terdapat segelintir pihak yang mengkritik prestasi pasukan biarpun mereka berjaya menempah tiket ke suku akhir Piala Asia 2023 selepas menewaskan Thailand 2-1 di pusingan 16 petang tadi.

Menurut Katanec, dengan pelbagai masalah yang dihadapi pasukan sejak hari pertama di Doha, Qatar, beliau berpuas hati dengan persembahan pemainnya sepanjang tempoh 90 minit perlawanan tadi.


“Saya ucap tahniah kepada pemain kerana mereka sudah buat yang terbaik. Harap peminat dapat bertenang dengan persembahan pasukan hari ini kerana kita bukan pasukan terbaik dunia nak menang semua perlawanan.

Kita kena bersyukur dengan kemenangan ini kerana sejak hari pertama kami kami sampai di sini pelbagai masalah yang kami hadapi seperti pemain cedera, banyak yang terkena jangkitan virus menyebabkan kami berdepan masalah untuk menurunkan skuad terbaik dalam setiap perlawanan.

Bagaimanapun saya berpuas hati dengan keputusan hari ini apabila kita berjaya menang sekaligus mara ke suku akhir. Fokus saya selepas ini adalah untuk buat persiapan untuk perlawanan seterusnya menentang Qatar,”

katanya.

Dedah Katanec lagi, ketika ini sebanyak lima pemain utamanya cedera dan beliau masih belum dapat memastikan samada pemain-pemain ini dapat diturunkan pada aksi suku akhir nanti atau tidak.

Beliau mengakui pasukan tuan rumah dalam prestasi terbaik selepas memperolehi empat kemenangan berturut-turut, namun tidak mustahil untuk mereka buat kejutan nanti.

“Jika anda lihat pasukan Qatar mereka telah menang empat perlawanan mereka tapi saya tetap yakin dengan kemampuan pasukan saya.

Tidak mustahil kami mampu buat kejutan nanti.”