Apa yang penting bantu pasukan menang! Tak kisah main di posisi mana pun – Abbosbek Fayzullaev

61

Pemain bintang pasukan kebangsaan Uzbekistan, Abbosbek Fayzullaev menegaskan bahawa beliau tidak kisah bermain di mana-mana posisi jika diarahkan oleh ketua jurulatih kerana apa yang penting adalah untuk bantu pasukan memperolehi kemenangan.

“Apa yang penting adalah untuk bantu pasukan untuk menang, jadi tidak kisah posisi mana sekali pun kami bermain.

Kami memperlihatkan tiga pemain bermain menyerang dengan bertukar-tukar posisi untuk mengelirukan barisan pertahanan lawan,”

katanya.

Fayzullaev pada masa sama turut meluahkan rasa terima kasihnya kepada peminat-peminat yang hadir ke stadium untuk memberi sokongan dan berkata kemenangan pada petang tadi adalah hadiah buat peminat Uzbekistan.


Terdahulu, skuad kendalian Srecko Katanec berjaya menewaskan Thailand 2-1 pada aksi pusingan 16 sekaligus menempah tiket ke suku akhir Piala Asia 2023 yang mana mereka akan bertemu pasukan tuan rumah Qatar pada 3 Februari ini.

Dalam pada itu, Fayzullaev juga berkata beliau tiada masalah bermain dengan permainan fizikal atau agresif kerana sudah terbiasa dengan corak permainan seperti itu dari kecil lagi.

“Sejak dari kecil lagi saya bermain dalam keadaan seperti ini yang mana ada pemain bermain agresif terhadap saya, tapi saya kena berterima kasih kepada pak cik saya kerana banyak beri nasihat kepada saya untuk terus bermain seperti ini.

Ini kerana beliau berkata pemain perlu ada karakter sekiranya mahu bermain di peringkat tertinggi.”

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai perlawanan menentang Qatar nanti, Fayzullaev mengakui pasukan lawan mempunyai kualiti tapi pasukannya sudah bersiap sedia.

“Qatar memang pasukan hebat dan mempunyai pemain individu yang berkualiti, tapi kami akan bersedia apabila tiba hari perlawanan nanti.”