Ke manakah hala tuju The Red Warriors musim ini?

52

Belum habis menelan kekecewaan disingkirkan dari Liga Super musim ini, pasukan The Red Warriors nampaknya perlu akur dengan keputusan untuk turut diasingkan dari Liga M3.

Harapan untuk beraksi secara automatik di Liga M3 tidak kesampaian memandangkan mereka ingin memberi tumpuan buat hanya 12 pasukan musim ini.


Selain itu, dua pasukan di tangga teratas Liga M4 akan diberi peluang untuk ‘naik taraf’ ke liga tersebut kali ini.

Perkara itu telah disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Amatur (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad kelmarin.

Pihak AFL turut menambah bahawa ruang buat Kelantan FC akan ada hanya sekiranya kelab yang menarik diri saat akhir.

Apakah nasib pasukan Kelantan FC musim ini?

Adakah mereka bakal meneruskan perjalanan pasukan mereka di Liga M4 atau Piala Al-Ikhsan?

Atau mungkin tempoh ‘rehat’ sepanjang musim ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk terus fokus memperbaiki masalah dalaman kelab selama ini?

Pelbagai isu dapat para penyokong tegar bola sepak tanah air dengari mengenai kelab ini.

Permohonan untuk pelesenan, lewat pembayaran gaji pemain dan pekerja lain, pengurusan kurang baik, kerosakan fasiliti serta penajaan kelab secara keseluruhan.

Ada baiknya juga andai Kelantan FC ‘hilang dari radar’ carta liga untuk musim ini dan kembali segar untuk bersaing bersama pasukan-pasukan lain akan datang selain mengembalikan kepercayaan pihak lembaga pengurusan bola sepak Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta AFL kepada kelab itu.

Situasi ini seharusnya dijadikan iktibar buat pihak pengurusan kelab itu buat masa-masa akan datang agar ianya tidak berulang lagi.