Percaturan untuk bertahan dan buat serangan balas pantas tak menjadi – Juan Antonio Pizzi

29

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Bahrain, Juan Antonio Pizzi mengakui percaturan untuk menyerap tekanan daripada pasukan lawan Jepun sebelum membuat serangan balas pantas tidak menjadi apabila mereka tewas 3-1 pada aksi pusingan 16 Piala Asia 2023 petang tadi.

“Perlawanan hari ini cukup sukar kerana pasukan lawan lebih hebat dari segi strategi dan taktikal. Selepas kita membuat analisis pasukan lawan, kita membuat percaturan untuk menyerap tekanan dan menutup ruang terlebih dahulu sebelum melakukan serangan balas pantas.

Mereka berjaya jaringkan gol pada separuh masa pertama dan gol kedua pada awal separuh masa kedua. Kita kemudian berjaya menjaringkan satu gol dan cuba menekan pasukan lawan, malangnya mereka jaringkan gol ketiga,”

katanya.

Pizzi tidak terkejut dengan keputusan kerana sedar bahawa Jepun mempunyai pasukan yang mempunyai pemain-pemain individu yang cukup hebat dan berpuas hati dengan persembahan pasukannya sepanjang kempen Piala Asia kali ini.


“Mereka mempunyai pemain yang mempunyai skil individu yang cukup berkualiti. Tidak hanya di kesebelasan utama, barisan pemain simpanan Jepun juga hebat-hebat belaka.

Saya bagaimanapun berpuas hati dengan persembahan pasukan sepanjang kempen ini kerana pasukan memperlihatkan peningkatan yang cukup positif.”

Tambahnya lagi, pengalaman bertemu pasukan besar seperti Jepun dan Korea Selatan dalam kejohanan ini akan dijadikan sebagai pengajaran untuk pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027 nanti.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan keyakinan yang mereka mampu layak ke Piala Asia edisi akan datang.

“Saya yakin pada kelayakan Piala Dunia nanti pasukan Bahrain mampu layak ke Piala Asia edisi 2027.”

Beliau pada masa sama turut mengucapkan terima kasih kepada peminat-peminat yang menyokong mereka sepanjang kejohanan ni dan berharap mereka akan terus menyokong pada kelayakan Piala Dunia/Piala Asia nanti.