Hajime Moriyasu sedar tuduhan salah laku seksual Junya Ito tapi tak akan ambil tindakan selagi belum sahih

49

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Jepun, Hajime Moriyasu mengakui sedar dengan laporan mengenai tuduhan salah laku seksual oleh pemainnya Junya Ito yang tersebar meluas di media negaranya, namun beliau enggan ambil sebarang tindakan buat masa ini.

Moriyasu berkata demikian kerana kes tersebut sedang disiasat oleh Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA).


“Ya kami sedar dengan laporan daripada sebuah majalah mingguan di sana dan saya percaya persatuan bola sepak akan melakukan siasatan untuk mengesahkan apa yang berlaku dan sahkan fakta dengan pemain, jadi susulan itu saya tidak akan mengambil sebarang tindakan buat masa ini,”

katanya.

Disebalik kontroversi salah seorang pemainnya, Moriyasu gembira apabila pasukannya berjaya mara ke suku akhir Piala Asia 2023 selepas mereka berjaya tewaskan Bahrain 3-1 pada aksi pusingan 16 petang tadi.

“Pujian harus diberikan kepada pemain dan staf pasukan kerana berjaya membuat persiapan rapi untuk perlawanan menentang Bahrain dan berjaya menang.

Saya rasa kita bermain dengan cukup baik sekali tapi ini bukanlah persembahan 100% kami kerana masih ada perkara yang boleh diperbaiki lagi untuk perlawanan seterusnya.”

Jepun kini menanti pemenang satu lagi pusingan 16 di antara Iran dan Syria yang mana sekiranya mereka bertemu Iran, Moriyasu perlu mengukuhkan lagi barisan pertahanan mereka kerena sedar Iran mempunyai barisan serangan yang cukup mantap.

“Aspek yang perlu diperbaiki adalah barisan pertahanan dan kami bolos tadi apabila dua pemain sendiri bertembung, tapi sekiranya kami akan menentang Iran nanti kami perlu perbaiki pertahanan.”

Dalam empat perlawanan kempen Piala Asia, Jepun berjaya menang tiga perlawanan dan hanya tewas satu perlawanan sahaja di peringkat kumpulan.