Wataru Endo sedih pemergian Jurgen Klopp tapi tak jejasnya di Piala Asia 2023

41

Pemain sensasi Jepun dan Liverpool, Wataru Endo mengakui terkejut dan sedih dengan berita pemergian ketua jurulatih kelabnya, Jurgen Klopp yang meletak jawatan tetapi ia sedikit pun tidak menjejaskan pretasinya bersama pasukan kebangsaan yang sedang beraksi di Piala Asia 2023.

“Sudah tentu ia berita besar apabila saya dengar dan berasa sedih tetapi sejujurnya ia tidak menjejaskan langsung persembahan saya.

Apa yang saya perlu lakukan kini adalah fokus dengan pasukan kebangsaan dan cuba menang trofi dan bawa pulang trofi ke Liverpool,”

katanya.

Endo berkata demikian dalam sidang media selepas tamat perlawanan pusingan 16 Piala Asia yang menyaksikan pasukannya berjaya menewaskan Bahrain 3-1 dimana beliau turut dinobat sebagai Pemain Terbaik (MOTM) perlawanan.


“Ia perlawanan yang sukar buat kami tapi saya gembira apabila kami berjaya menang. Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan.

Ya kami bolos lagi. Setiap pasukan lawan akan kaji pasukan kami untuk cari kelemahan tapi saya yakin sekiranya kami buat yang terbaik dan fokus sepanjang tempoh 90 minit permaianan, kami mampu menang.”

Beliau pada masa sama turut berkata mereka akan tingkatkan lagi prestasi mereka untuk perlawanan suku akhir nanti.

Dalam pada itu, Endo yang menjadi tonggak utama pasukan apabila bermain dalam empat perlawanan berturut-turut untuk tempoh penuh berkata beliau cergas dan bersedia untuk aksi seterusnya.

“Biarpun saya main penuh dalam keempat-empat perlawanan kondisi saya tetap baik dan saya sudah bersedia untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya.

Sebagai kapten pasukan, saya perlu tunjukkan contoh terbaik kepada rakan sepasukan bagi memastikan setiap pemain yang turun beraksi akan memberikan persembahan terbaik mereka.”