Risikan atau persaraan, mana satu pilihan hati Brendan Gan?

106

Di dalam mahupun di luar padang, kecekalan pemain tengah kegemaran ramai, Brendan Gan memang tiada tandingannya.

Empat tahun yang penuh cabaran kini akan disematkan sebagai suatu era kegemilangan buat beliau.


Meskipun direhatkan selepas disahkan menghidap penyakit kanser sejak July 2021, 80 kali penampilan beliau bersama The Red Giants tetap berjaya menyaksikan 14 gol bersama 12 bantuan gol (goal assist).

Siapa sangka bantuan gol sewaktu perlawanan sengit Selangor menentang Kedah musim lalu, sehingga pasukan itu layak ke pentas Asia merupakan hadiah terakhir Brendan buat Selangor FC.

Rata-rata penyokong tegar kelab itu juga turut mengekspresikan kekecewaan mereka terhadap khabar duka itu sejak semalam.

Ada juga teka-teki berlegar diantara mereka yang menyangka bintang bola sepak itu telah dirisik kelab yang lain ataupun akan bersara selamanya dari arena bola sepak tanah air.

Yang mana satu pilihan hati Brendan Gan?

Ramai yang ternyata lebih rela melihat beliau bersama kelab yang lain dari terus bersara kerana masih ingin menantikan aksi lincah serta kemunculannya di atas padang.

Terbukti para peminat pasukan King of Malaya belum bersedia sepenuhnya dengan kehilangan kapten pasukan itu.

Selain Brendan, The Red Giants juga menyaksikan pemergian lima lagi pemain hebat mereka musim ini iaitu Ayron Del Valle, Yazan Al-Arab, Boakye-Yiadom, Rauf Salifu and Zahril Zabri.