FAM masih belum tetapkan sasaran untuk skuad B-23 untuk Piala Asia B-23 2024

45

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum menetapkan sasaran untuk pasukan kebangsaan B-23 yang akan mengharungi kejohanan Piala Asia B-23 2024 di Doha, Qatar yang akan berlangsung pada April ini.

Menurut Setiausaha Agung FAM iaitu Datuk Noor Azman Rahman, pihaknya akan umumkan sasaran skuad B-23 itu dalam masa terdekat ini.


“Buat masa ini belum ada sasaran tapi kita akan umumkan nanti,”

jawabnya ringkas.

Noor Azman pada masa sama turut memberitahu ketua jurulatih skuad B-23, Juan Torres Garrido kini sedang dalam proses mempersiapkan pasukan supaya bersedia untuk perlawanan pertama nanti.

Dalam pada itu, Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell memberitahu pihaknya sedang bekerja keras untuk mengatur beberapa perlawanan persahabatan selepas kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Indonesia dibatalkan.

“Kami masih dalam proses untuk mengesahkan beberapa perlawanan persahabatan dan akan buat yang terbaik untuk memastikan apabila tiba masa kejohanan nanti, pasukan akan bersedia.

Pemain akan memulakan kem latihan pusat pada 12 atau 13 Mac ini dan kami juga berharap dapat pergi ke Qatar lebih awal iaitu pada awal April tapi perkara itu masih belum dapat dipastikan.”

Sementara itu, Noor Azman turut mengakui pihaknya sudah pun mengesyorkan tiga ke empat nama pemain negara yang bermain di luar negara kepada barisan kejurulatihan skuad negara iaitu Kim Pan-gon dan Juan Torres Garrido.

“Kita sudah serahkan tiga ke empat nama kepada mereka (jurulatih) untuk menilai dan jika merasakan pemain-pemain ini sesuai, mereka akan panggil pemain itu nanti.”