Nasib Intan Serah akan ditentukan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam masa terdekat – Noor Azman

36

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memberitahu nasib pemain bola sepak wanita kebangsaan, Intan Serah akan ditentukan oleh Jawatankuasa Tataterbit FAM selepas mereka bersidang.

“Kita bagi pihak Unit Undang-Undang sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada Intan Serah pada 8 Februari lalu dan beliau sudah pun membalas surat tunjuk sebab tersebut dan kita akan menunggu Jawatankuasa Tatatertib bersidang,”

katanya.

Terdahulu Intan Serah telah mencetuskan kontroversi apabila beliau telah mengkritik percaturan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Asia 2023 ketika menentang Korea Selatan.


Beliau bagaimanapun segera tampil membuat permohonan maaf di atas keterlanjuran tersebut dengan berkata ia berlaku dek tidak dapat mengawal emosi.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden FAM iaitu Datuk Yusoff Mahadi memberitahu bahawa FAM akan mengadakan program akar umbi bola sepak wanita di Johor bermula awal Mac ini.

Yusoff berkata demikian selepas tamat Mesyuarata Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-10 bagi penggal 2021-2025.

“FAM akan mengadakan program akar umbi bola sepak wanita dengan kerjasama daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk kategori umur 10 hingga 15 tahun pada 1 Mac ini di Pengerang, Johor.”

Beliau pada masa sama turut mengesahkan jumlah pasukan yang akan bersaing pada saingan Piala Presiden dan Piala Belia pada musim ini.

“Untuk Piala Presiden sebanyak 16 pasukan sudah mengesahkan tempat untuk bersaing, manakala untuk Piala Belia pula sebanyak 17 pasukan sudah mengesahkan tempat untuk bersaing pada musim ini.”

Piala Presiden akan membuka tirainya pada 21 April ini, manakala Piala Belia pula akan bermula pada 27 April ini.