Pengadil kita bertugas di Piala Asia 2023 pamer aksi terbaik – S. Sivasundaram

35

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ S. Sivasundaram memuji barisan pengadil tempatan yang mempamerkan prestasi terbaik mereka dalam kejohanan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Doha, Qatar baru-baru ini.

Menurut Sivasundaram, biarpun tiada surat rasmi daripada pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenai prestasi pengadil dan pengawai daripada Malaysia, namun beliau mendapat maklumat mereka beraksi dengan cukup baik.


“Mereka sudah buat yang terbaik. Kami tidak terima sebarang surat rasmi tapi dari maklumat yang kita terima, pengadil kita beraksi dengan cukup baik sekali sepanjang kempen Piala Asia,”

katanya.

Tiga pengadil tersebut adalah Nazmi Nasaruddin (pengadil), Zairul Khalil Tan (penolong pengadil) dan Arif Shamil Rasid (penolong pengadil).

Manakala seorang lagi adalah C. Ravichandran pula bertindak sebagai pegawai kecergasan.

Bekas pengadil lagenda negara, Subkhiddin Salleh pula bertugas sebagai pakar teknikal.

Dalam pada itu, beliau turut yakin bahawa saingan Liga Super musim 2024 akan menggunakan VAR (video assistant referee).

“Delegasi FIFA akan datang pada 17 hingga 22 April ini ke Malaysia untuk pemantauan, penilaian teknologi dan pengiktirafan pada perlawanan secara langsung nanti.

Saya yakin kita akan mendapat kelulusan daripada pihak FIFA.”

Tambahnya lagi, seramai 21 pengadil, 20 penolong pengadil dan sembilan pegawai ‘Replay Referee’ telah selesai menjalani latihan VAR.