SaiYouth Academy diwujudkan untuk beri peluang kepada anak muda dari komuniti India ceburi dunia bola sepak

29

Bola sepak adalah sukan paling popular di dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali yang mana sukan nombor satu negara adalah bola sepak dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin banyak akademi bola sepak ditubuhkan di seluruh negara.

Kewujudan banyak akademi bola sepak yang muncul seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ telah membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada anak-anak muda untuk bermain bola sepak dengan serius.


Jika sebelum ini pembangunan bola sepak akar umbi hanya tertumpu kepada sekolah sukan dan akademi bola sepak milik kerajaan dan kerajaan negeri, tapi dengan kewujudan akademi bola sepak swasta telah memberi peluang kepada lebih ramai pemain muda sekaligus perkembangan cukup positif untuk pembangunan akar-umbi terutamanya bola sepak wanita.

Saikirtana Subramaniam antara salah seorang individu yang mempunyai minat mendalam dalam dunia bola sepak dan beliau merupakan pengasas dan juga ketua jurulatih untuk SaiYouth Academy.

Beliau menubuhkan akademi bola sepak padang dan futsal ini dengan misi untuk membantu kanak-kanak dari komuniti India untuk menceburi sukan bola sepak dan lebih hebat lagi apabila beliau tidak mengenakan sebarang yuran.

“Ya memang percuma! Saya tahu ramai tanya bagaimana saya dapat dana untuk uruskan akademi ini. Saya sebenarnya sering anjurkan liga futsal sendiri di Setapak, KL dan pendapatan yang saya dapat daripada situ saya salurkan semua ke akademi.

Apa yang membuatkan saya ingin wujudkan akademi ini adalah untuk bantu komunit saya sendiri yang mana tiada siapa yang sanggup buat perkara ini dalam komuniti saya.

Mungkin jika ada yang buat perkara sama seperti saya sebelum ini, mungkin saya sekarang sudah menjadi salah seorang pemain Malaysia. Malangnya saya tidak mendapat peluang itu tapi saya tidak boleh salahkan generasi terdahulu.

Saya tidak mahu generasi baru menyalahkan generasi saya tidak berbuat apa-apa untuk mereka, jadi saya buat ini untuk komuniti saya supaya dapat lahirkan pemain negara untuk masa hadapan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga mengakui berdepan banyak cabaran dalam usahanya untuk membangunkan bola sepak dalam komuniti lebih-lebih lagi beliau seorang wanita.

Dalam pada itu, Saikirtana juga meluahkan rasa terkilannya apabila sukar untuknya cuba mendapatkan penaja untuk bantu akademinya berkembang.

Antara cabaran yang dihadapi adalah pihak penaja memandang rendah dengan kemampuannya hanya kerana beliau seorang wanita.

Lebih teruk lagi, ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya menyebabkan beliau fobia untuk cari penaja.

Sementara itu, beliau bagaimanapun berharap ada pihak yang dapat tampil membantu mereka dalam masa terdekat ini kerana mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM6,000 untuk menyertai kejohanan bola sepak B-14 anjuran Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA).

“Kita akan sertai saingan liga B-14 anjuran MIFA pada minggu hadapan iaitu 24 & 25 Februari ini dan kita perlukan sekurang-kurangnya RM6,000 untuk bawa pasukan ke Melaka.

Dana tersebut diperlukan untuk membuat jersi pasukan, penginapan tiga hari dan pengangkutan pasukan sepanjang kejohanan.”