Apakah sasaran realistik untuk skuad B-23 di Piala Asia nanti?

48

Selepas kehangatan Piala Asia 2023 baru sahaja melabuhkan tirainya dengan pasukan tuan rumah Qatar berjaya mempertahankan kejuaraan mereka buat kali kedua berturut-turut, kini bahang Piala Asia B-23 2024 pula kian dirasai.

Piala Asia B-23 tahun ini adalah edisi ke enam yang mana ia turut akan berlangsung di Doha, Qatar bermula 15 April hingga 3 Mei ini.


Peminat pastinya mahu melihat skuad junior Harimau Muda menebus kekecewaan skuad senior Harimau Malaya yang terkulai pada kejohanan baru-baru ini apabila tersingkir awal selepas berjaya kutip satu mata sahaja.

Untuk skuad kendalian Juan Torres Garrido kali ini mereka berdepan dua misi yang cukup mencabar kerana Piala Asia juga bertindak sebagai kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Ini kerana kali terakhir skuad negara berjaya layak ke temasya itu adalah pada tahun 1972 atau lebih setengah abad dan pastinya peminat menaruh harapan yang cukup tinggi untuk skuad negara layak.

Untuk layak, skuad negara perlu sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir kerana tiga pasukan teratas dalam kejohanan akan layak secara automatik ke Olimpik, manakala pasukan keempat akan bermain play-off.

Jadi persoalan utama ketika ini apakah sasaran yang realistic buat skuad Harimau Muda di Piala Asia nanti?

Baru-baru ini dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali ke-10 bagi penggal 2021-2025, Setiausaha Agung FAM iaitu Datuk Noor Azman Rahman memberitahu bahawa pihaknya masih belum menetapkan sebarang sasaran dan akan buat pengumuman mengenai perkara itu dalam masa terdekat ini.

Menurut Noor Azman, FAM dan Juan Torres kini sedang bekerja keras untuk menyiapkan pasukan sebelum kejohanan bermula tetapi berdepan pelbagai cabaran apabila satu kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Indonesia dibatalkan.

Usaha untuk mendapatkan beberapa perlawanan persahabatan juga masih belum membuahkan hasil, tapi beliau memberi jaminan pasukan akan bersedia untuk perlawanan pertama nanti.

Terdahulu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam sidang medianya ketika di Doha, Qatar memberi bayangan sasaran mereka pada kejohanan itu nanti adalah untuk mara ke separuh akhir untuk layak secara automatik ke Olimpik nanti.

Skuad negara bagaimanapun berdepan tugas yang cukup berat berikutan mereka diundi dalam Kumpulan D bersama pasukan hebat seperti Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam.

Pencapaian terbaik skuad negara di pentas Piala Asia sebelum ini adalah pada tahun 2018 apabila mereka berjaya mara ke suku akhir.

Oleh itu, pihak FAM perlu mengambil kira daripada pelbagai sudut terlebih dahulu sebelum mengumumkan sasaran untuk skuad negara supaya ia lebih realistik pada masa sama tidak meletak tekanan tinggi kepada pemain-pemain.

Bagi peminat bola sepak tanah air pula, apakah sasaran realistik untuk skuad negara kita?