Sabah FA yakin mampu rebut kedudukan Top 3 MPFL musim 2024

50

Pengerusi Futsal Sabah FA, Rafiuddin Gulistan memberitahu sasaran mereka pada saingan Malaysia Premier Futsal League (MFPL) Divisyen 1 pada musim 2024 adalah untuk berada dalam kedudukan tiga teratas.

Biarpun sedar cabaran besar menanti mereka nanti, namun berdasarkan persiapan pasukan yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu termasuk kehadiran ketua jurulatih baru iaitu Patt Sriwijit beliau yakin pasukannya mampu beri cabaran.


“Ya kesemua pasukan di Divisyen 1 ini cukup baik yang mana mereka ada kelebihan masing-masing.

Tambahan pula pasukan juga mempunyai pengendali import dan tempatan dan mereka juga ada pemain-pemain import dan tempatan berkualiti.

Tapi setelah beberapa bulan kita menjalani latihan bersama pengendali baru Patt Sriwijit dan pemain sedia ada kita yakin dan akan cuba buat yang terbaik untuk berada dalam kedudukan Top 3 musim ini,”

katanya.

Pemilihan bekas ketua jurulatih Selangor TOT itu adalah kerana pengendali dari Thailand itu mempunyai kualiti dan kemampuan untuk meningkatkan kualiti pasukan.

Tambahnya lagi, fokus mereka tidak hanya kepada skuad senior sahaja sebaliknya turut pembangunan seperti pasukan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) dan MAKSAK.

Dalam pada itu, Sriwijit berterima kasih kepada pihak pengurusan Sabah yang memberi kepercayaan kepadanya untuk membawa skuad itu beraksi di MPFL musim ini.

Menurutnya, selain mempersiapkan pasukan dan membuat percaturan untuk saingan liga, beliau juga mahu tingkatkan kualiti pemain-pemain tempatan.

“Terima kasih kepada pengurusan Sabah FA yang melantik saya sebagai ketua jurulatih yang baru. Saya mahu meningkatkan kualiti pemain-pemain tempatan serta menerapkan ciri-ciri sebagai pemain profesional.”

Beliau pada masa sama turut menyuarakan keyakinan yang pasukannya mampu memberi cabaran untuk merebut kedudukan Top 3.

Sabah akan membuka tirai kempen MPFL mereka pada 18 Februari ini menentang Selangor FC.