Persaingan sengit pasukan di MFPL musim ini akan beri manfaat kepada skuad negara – Rosmadi Ismail

41

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Haji Rosmadi Ismail gembira melihat perkembangan futsal tempatan ketika ini yang cukup rancak dengan pasukan-pasukan membuat persiapan cukup rapi untuk mengharungi saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1 musim 2024.

MPFL Divsyen 1 yang akan membuka tirainya pada 17 Februari ini telah menyaksikan setiap pasukan membuat persiapan cukup rapi dari pelbagai aspek termasuk ketua jurulatih dan barisan pemain yang lebih berkualiti.


Menurut Rosmadi, perkembangan positif itu secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada pasukan futsal kebangsaan.

“Persiapan musim ini nampak meriah dengan kelapan-lapan pasukan ini berlumba-lumba untuk mencari pemain terbaik samada pemain tempatan mahupun pemain import.

Dan saya harap persaingan ini akan menjadi satu persaingan yang sihat untuk melahirkan pemain tempatan yang berkualiti dan berprestasi tinggi untuk pasukan kebangsaan,”

katanya yang juga merupakan pengurus pasukan futsal negara.

Tambahnya lagi, dengan kehangatan saingan MPFL musim ini ia sedikit sebanyak dapat menaikkan nilai pasaran liga futsal ke tahap lebih baik.

Dalam pada itu, Rosmadi turut berkata untuk saingan musim ini FAM akan turut memperkenalkan MPFL Divisyen 2 yang mana tarikh sepak mulanya masih lagi belum diputuskan.

“Untuk divisyen 2 ini kita masih belum menetapkan tarikh tapi setakat ini kita sudah mempunyai tujuh pasukan yang bersetuju untuk menyertai. Ia akan dimainkan secara karnival.”

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai skuad futsal negara, beliau berkata pasukan akan membuat persiapan bagi mengharungi kejohanan Piala AFF 2024 tidak lama lagi.

Susulan itu, pihaknya kini sedang membuat perancangan untuk mengatur beberapa perlawanan persahabatan.

“Kejohanan yang sudah sah kita akan beraksi adalah Piala AFF dan kita juga sedang menunggu pengesahan daripada Asian Indoor Game.

Untuk persiapan kita, kita sedang merangka perlawanan persahabatan dengan pasukan luar dan Alhamdulillah hasil keputusan yang agak baik dalam kelayakan Piala Asia baru-baru ini, banyak pasukan yang nak bermain dengan kita.

Ada yang menjemput ke sana atau bersetuju untuk datang dan kita masih merancang dan insyaAllah kita akan adakan perlawanan persahabatan antarabangsa ini dalam masa terdekat selepas liga ini.”

Dedahnya, antara pasukan yang menjemput skuad negara untuk perlawanan persahabatan adalah Bahrain, Thailand dan Vietnam.

Selain itu, pasukan Jepun juga menyuarakan minat untuk mengadakan perlawanan persahabatan tapi buat masa ini belum ada sebarang surat rasmi mengenai hasrat mereka itu.