Saya fikir masih muda dan memang nak main dulu, jadi duit tolak tepi dulu – Syahir Iqbal Khan

56

Pemain futsal Selangor FC, Syahir Iqbal Khan tidak berasa kesal langsung apabila beliau menolak tawaran lumayan daripada kelab lain untuk kekal bersama Selangor yang sebelum ini dikenali sebagai Selangor MAC.

Menurut Syahir, antara faktor utama beliau menolak tawaran lumayan itu kerana beliau mahu mencipta nama terlebih dahulu dan mendapat minit permainan.


“Bagi saya, saya masih baru bersama Selangor jadi saya mahu dapatkan permainan terlebih dahulu dan kekal konsisten dengan permainan saya.

Ya tidak dapat dinafikan memang saya terima tawaran besar dan jika saya fikir nak duit memang saya pergi, tapi saya tolak kerana merasakan diri masih muda dan mahu main dulu, jadi duit tolak tepi dulu,”

katanya.

Syahir pada masa sama turut tiada masalah sekiranya beliau tidak dapat tawaran lumayan kelak kerana percaya dengan rezeki.

“Tak mengapa kerana saya serahkan kepada rezeki. Jika saya terus konsisten insyaAllah rezeki itu akan datang.”

Dalam pada itu, menjelang aksi pertama saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1 yang akan membuka tirainya pada 17 Februari ini, beliau berkata pasukan sudah berada dalam keadaan cukup bersedia selepas membuat persiapan rapi.

Tambahnya lagi, biarpun pasukan tampil dengan ramai pemain baru namun mereka sudah pun dapat menyesuaikan diri dan serasi dengan rakan sepasukan dan percaturan yang diterapkan oleh ketua jurulatih.

Sementara itu, Syahir berkata biarpun musim ini setiap pasukan yang bertanding membuat persiapan yang cukup rapi dan hebat tetapi pasukan meletak sasaran untuk menjulang kejuaraan.

“Untuk musim ini pastinya kami mahu jadi juara balik dan harap dapat panggilan untuk sarung jersi pasukan kebangsaan.”

Selangor akan memulakan kempen MPFL mereka pada 18 Februari ini menentang Sabah FA di KSN Panasonic, Shah Alam.