Bangga pemain jadi rebutan beri petanda kita berjaya lahirkan pemain berkualiti – Mimi Afzan

23

Pengurus pasukan Selangor FC Futsal, Mimi Afzan Afza berasa bangga dan gembira apabila pemain-pemainnya menjadi rebutan pasukan lain kerana ia memberi petanda bahawa mereka berjaya lahirkan pemain berkualiti.

“Sebenarnya saya berasa cukup bangga apabila anak didik (pemain) kita menjadi rebutan pasukan lain kerana ia bermaksud kita berjaya buat sesuatu untuk bangunkan pemain itu menjadi seorang pemain berkualiti,”

katanya.

Mimi berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan pemainnya iaitu Syahir Iqbal Khan yang sanggup menolak tawaran lumayan daripada sebuah kelab lain untuk kekal bersama Selangor untuk musim ini.


Untuk saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1 musim ini, Mimi berkata mereka sudah membuat persiapan yang cukup rapi termasuk menyertai kejohanan jemputan di Vietnam baru-baru ini.

“Persedian telah dilakukan dan apa yang saya boleh katakan persedian kami kali ini setara dengan pasukan lain atau mungkin lebih baik dalam beberapa aspek berbanding pasukan lagi.

Cabaran di Vietnam mereka berjaya atasi dengan cemerlang dan sekarang ini ia semua bergantung kepada mereka iaitu ‘how badly you want itu’.

Jika mereka benar-benar mahukan kejayaan, maka saya yakin mereka mampu capai sasaran kita untuk jadi juara musim ini.”

Dalam pada itu, ketua jurulatih Edgar Baldasso mengakui turut menerima tawaran daripada pasukan lain untuk musim ini tetapi memilih untuk kekal bersama Selangor kerana beliau mempunyai sasarannya sendiri.

“Saya juga terima tawaran daripada pasukan lain tapi saya kekal kerana saya ada sasaran saya di sini dan saya rasa Syahir juga sama kerana kami percaya dengan projek ini.”

Menurut Baldasso, beliau bergelut pada musim pertama kerana tidak mengenali permainan setiap pemain selain dan corak permainan futsal di Malaysia.

“Tahun ini berbeza kerana saya sudah tahu permainan setiap pemain saya sekaligus mereka dapat main dengan permainan terbaik mereka dalam setiap perlawanan yang diharungi.

Jadi saya sangat yakin dengan kempen kami musim ini.”

Selangor FC Futsal akan membuka tirai kempen mereka pada 18 Februari ini menentang Sabah FA di KSN Panasonic, Shah Alam.