Kita perlu layak sekurang-kurangnya ke suku akhir Piala Asia B-23 – Hamidin Mohd Amin

76

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meletak sasaran untuk pasukan kebangsaan B-23 untuk mara ke suku akhir Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Doha, Qatar pada 15 April hingga 3 Mei depan.

Menurut Hamidin, beliau meletakkan sasaran tersebut selepas membuat penilaian terhadap pasukan-pasukan yang bertanding pada edisi kali ini, sekaligus peluang untuk skuad Harimau Muda untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 Paris cukup tipis.


“Sebagai Presiden FAM kalau kita dapat masuk ke Olimpik Paris ia akan menjadi satu kejayaan kerana kita perlu ingat untuk skuad senior kejohanan paling besar adalah Piala Dunia, manakala untuk skuad B-23 pula adalah ke Olimpik.

Skuad negara akan berada dalam kumpulan bersama Vietnam, Uzbekistan dan Kuwait. Saya ada buat research saya sendiri di mana pasukan Uzbekistan mempunyai tujuh pemain yang bermain di Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Vietnam pula mempunyai sembilan pemain B-23 yang beraksi di Piala Asia baru-baru ini selepas ramai tonggak utama mereka cedera, jadi kita perlu sedar tahap kita.

Apa-apa pun kita perlu berikan yang terbaik dan penting untuk kita layak sekurang-kurangnya ke suku akhir,”

katanya.

Untuk skuad negara layak ke Olimpik, mereka perlu mara ke peringkat separuh akhir yang mana tiga pasukan teratas akan layak secara automatik, manakala pasukan keempat perlu bermain perlawanan play-off.

Dalam pada itu, Hamidin turut memberitahu skuad kendalian Juan Torres Garrido akan mengharungi sekurang-kurangnya enam perlawanan persahabatan sebagai persiapan sebelum mengharungi Piala Asia B-23.

Beliau berkata, tiga perlawanan akan berlangsung di Malaysia samada di Stadium Kuala Lumpur, Cheras atau pun Stadium Majlis Bandarajaya Petaling Jaya (MBPJ), dan tiga perlawanan lagi di Qatar.

Jelasnya lagi, buat masa ini dua pasukan sudah pun mengesahkan diri iaitu menentang India di Malaysia dan pasukan kebangsaan Qatar di Doha.

“Semalam kita sudah sahkan skuad negara akan menentang India dan dua pasukan lagi di sini sebelum ke pergi ke Qatar awal untuk menentang pasukan tuan rumah dan dua lagi perlawanan dengan salah satunya mungkin pasukan Jepun.”

Tambahnya lagi, satu lagi perlawanan di Doha adalah dengan pasukan yang tiba awal untuk kejohanan itu nanti.