Bertrand Rhodict harap dapat masuk RTG untuk bantu persiapannya ke Olimpik Paris

41

Atlet terjun negara, Bertrand Rhodict Lises harap dapat diserap masuk ke program Road To Gold (RTG) untuk membantunya dalam persiapan sebelum terbang ke Paris untuk temasya Sukan Olimpik 2024.

“Saya rasa dapat masuk RTG ia satu keistimewaan kerana saya masih muda dan mampu untuk push lebih lagi untuk beri saingan di Olimpik nanti.

Jika saya dapat masuk ke RTG saya akan dapat apa yang saya mahu dengan lebih mudah berbanding tidak berada dalam program itu, jadi saya harap dapat diserap masuk ke RTG nanti,”

katanya.

Rhodict menjadi satu-satunya atlet terjun negara yang berjaya layak ke Olimpik pada Julai depan selepas atlet terjun harapan negara iaitu Nur Dhabitah Sabri dan Pandelela Rinong gagal di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha baru-baru ini, namun tidak berada dalam program RTG.


Dalam pada itu, atlet berusia 19 tahun itu akan ke luar negara pada 14 Mac ini untuk menjalani latihan.

“Saya akan terbang ke luar negara 14 Mac ini untuk menjalani latihan tetapi belum tahu di mana lagi, tapi saya ada pilihan untuk ke Amerika Syarikat, Mexico atau United Kingdom.

Tapi saya minta untuk pergi ke UK sebab mudah untuk saya ke Paris nanti dan perbezaan waktu juga tidak jauh beza sekaligus mudah untuk saya menyesuaikan diri.”

Jika beliau ke UK, Rhodict berkata beliau akan menjalani latihan dengan pasukan kebangsaan England.

Sementara itu, beliau tidak berasa tertekan menjadi atlet terjun tunggal negara di Olimpik dan akan cuba buat yang terbaik bagi memperbaiki kedudukan rankingnya.

“Apa yang saya boleh kata ketika ini adalah untuk buat yang terbaik dan perbaiki kedudukan ranking kerana saya masih muda jadi saya harap dapat layak ke lebih banyak Olimpik nanti.

Saya juga perlu cekal dan kekal bersemangat biarpun seorang diri ke acara terjun nanti. Sekarang ini saya perlu tingkatkan kesukaran terjunan dan belajar terjunan baru beri untuk saingan di Olimpik nanti.”